Tiada Persefahaman Punca Mawar Rashid & Raf Yaakob Bercerai

Share

Pelakon dan usahawan, Mawar Rashid akhirnya mengesahkan dia dan suami, Raf Yaakob bersetuju untuk bercerai atas sebab tiada lagi persefahaman.

Menerusi sebuah hantaran di Instastory, pelakon berusia 28 tahun itu memberitahu fokus utama mereka kini adalah memberi seluruh sokongan dan kasih sayang buat cahaya mata mereka.

BACA LAGI: “Transparency Dalam Rumah Tangga Itu Harus Ada” -‘Rahsia’ Mawar Rashid Bahagia Disamping Raf Yaakob

“Kami berdua bersetuju untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman. Raf dan saya kekal berhubungan baik. Fokus kami sekarang adalah memberi sokongan dan kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak kami.

“Kejayaan hubungan kekeluargaan bermula dari ibu bapa dan itu yang kami akan usahakan bersama biarpun tidak lagi berdua,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, bekas peserta Dewi Remaja itu turut memohon agar tiada sebarang spekulasi yang sengaja dicipta selain meminta peminat mendoakan yang baik-baik buat mereka berdua.

“Kami berdua sedih dan sesal untuk berkongsi berita duka ini kepada kamu semua. Tetapi, ini adalah yang terbaik untuk kelangsungan hidup kami berdua.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami berdua dan juga, untuk doa-doa yang baik. Itu amat bermakna untuk kami.

“Ini adalah kenyataan rasmi yang pertama dan terakhir dari kami. Harap semua pihak menghormati keputusan ini,” coretnya lagi.

Spekulasi pergolakkan rumah tangga mereka hangat diperkatakan selepas Mawar tidak lagi berhijab sekitar awal bulan lalu.

Menguatkan lagi dakwaan itu apabila dia dilihat bertindak memadam gambar bersama adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu.

Menerusi perkahwinan itu, pasangan tersebut telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta, dan Raden Seri Riyanna Sayang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Instagram Mawar Rashid

Published by
Fath