Bagi yang mengikuti program pencarian Dewi Remaja 2018/2019, pastinya korang mengenali empunya nama Nik Nor Farzuwin Binti Nik Ismail ini.
Mesra dengan panggilan Aween Ismail, gadis jelita ini sebenarnya telahpun menceburi bidang lakonan menerusi beberapa projek drama dan telemovie sebelum ini.
Bagaimanapun, pencapaian karier lakonan paling besar Aween buat masa ini adalah menerusi filem Mael Totey The Movie yang akan ditayangkan bermula 22 Oktober ini di Astro First.
Menurut Aween, filem yang menjalani penggambaran majoriti di Kota Bharu ini mempunyai keistimewaan tersendiri selain loghat bahasa Kelantan yang dituturkan para pelakon.
“Pertama sekali, Mael Totey The Movie sesuai ditonton oleh seluruh ahli keluarga malah bersama kawan. Aween tahu ramai akan tertarik dengan kombinasi genre romantis, drama dan komedinya.
“Filem ini juga tidak menonjolkan sebarang sentuhan di antara lelaki dan perempuan. Malah sepanjang menjalani penggambaran di Kelantan dan Kuala Lumpur, kesemua jurusolek bagi pelakon wanitanya juga adalah wanita. Bagi pelakon lelaki, jurusolek lelakilah. Jadi tidak wujud rasa tidak selesa di kalangan pelakonnya,” jelasnya yang memegang watak sebagai Yaya Toure di dalam filem ini.
Secara ringkasnya, Mael Totey The Movie menceritakan tentang seorang remaja lurus bendul bernama Mael (Syahmi Sazli) yang ingin memikat Yaya lakonan Aween. Bagaimanapun, Yaya mengenakan syarat kepada Mael untuk menguasai Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum dia memikirkan pelawaan lelaki tersebut..
Semasa belajar bahasa Inggeris, Mael terpikat pula dengan watak Teacher dan di situ berlakunya konflik komedi dalam filem.
Satu lagi perkara yang membuatkan Mael Totey The Movie berlainan adalah apabila pengarahnya, Syahmi Sazli memperkenalkan empat orang pelakon istimewa iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.
Kata Aween, penglibatan mereka dalam filem ini cukup berkesan kerana ia menguatkan lagi tagline filem “Kita Lain, Mereka Sama”.
Haa.. korang mesti ingat tagline itu adalah untuk masyarakat Kelantan kan. Tidak, ia adalah untuk golongan istimewa ini.
“Jalan cerita Mael Totey The Movie adalah kesinambungan daripada drama pendek viral ‘Mael Totey’ yang pernah bersiaran di YouTube.
“Bagi peminat Syahmi Sazli, korang mesti tahu peranan golongan istimewa dalam penceritaannya. Dan dia menyambung jalan cerita mereka ke dalam filem ini. Keempat-empat pelakon tersebut sememangnya berbakat di hadapan kamera kerana mereka membawa elemen spontan yang menghiburkan.
“Malah, penggambaran kami memang diwarnai dengan spontaneity pelakon dan pengarahnya, Syahmi. Itu yang membuatkan filem ini menarik,”katanya yang pernah membawa pulang kategori Dewi Inspirasi 2018/19 dahulu.
Bagi yang tertarik untuk menonton Mael Totey The Movie ini, korang boleh menontonnya di saluran Astro First (480) mulai esok 22 Oktober dengan bayaran RM15 sahaja. #SupportLokal