Alhamdulillah
Setelah dua minggu menerima rawatan di Hospital Melaka,, penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar akhirnya mengesahkan bahawa dirinya telah bebas daripada jangkitan Covid-19.
Alif yang menerima perkhabaran dukacita positif Covid-19 selepas membuat persembahan di peringkat separuh akhir MuzikMuzik dua minggu lalu telah menerima sokongan yang cukup padu untuk melalui fasa rawatan itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Separuh Akhir Muzik-Muzik SAH Ditunda, Peserta Malam Ini Beri Komen – REMAJA
Bukan hanya peminatnya yang memberikan ucapan dan dorongan, malah beberapa figura hebat seperti Menteri Kanan Hal Ehwal Agama Malaysia, Dr Zulkifli Al Bakri dan Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tampil memberikan kata-kata semangat.
Catatnya di laman Instagram pada pagi ini, Alif percaya setiap yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi dan ada hikmah ke atas apa yang terjadi.
“Sukacita Alif ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hopital Melaka, atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat Alif sekeluarga; Alif kini kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga tersayang.
“Alif ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak terutama sekali pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produksi MuzikMuzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri Alif yang cukup prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi SOP dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas Alif disahkan positif Covid-19,” kata penyanyi I Want You To Love Me itu.
Alif menambah agar kita semua mengambil serius cogan kata Kita Jaga Kita dengan sepenuh jiwa. Ia bukan sekadar cogan kata untuk membendung wabak ini tetapi sebagai tanda kerjasama semua rakyat Malaysia untuk melawan COVID-19 dengan berhemah.
“Hentikanlah stigma negatiif, memulau, mengasingkan dan memandang seorang mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti.
“Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yyang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam. Agama menitik beratkan sifat kasih dan sayang bukan saja menjaga hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia,” catatnya lagi pagi ini.
View this post on Instagram
Sehubungan dengan berita baik ini, Alif terlebih dahulu ingin mengambil beberapa hari untuk diluangkan bersama keluarga tercinta sebelum kembali ke lokasi kerja seperti biasa.
Di samping itu, dia turut meminta agar rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar pesakit yang masih berada di hospital atau dikuarantin di rumah agar cepat sembuh dan boleh kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.