Baru-baru ini, Kerajaan telah meneliti keputusan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat demi mengurangkan jumlah kes baharu dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia.
Di waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini juga, kita semua dilarang ‘Dine In’ di kedai makan. Tapi rakyat Malaysia nampaknya lebih kreatif apabila konsep makan dalam kereta (dine-in) sepanjang waktu PKP ini kian menjadi pilihan ramai dan mula menjadi pendekatan baharu oleh pemilik kafe.
Menerusi konsep baharu ini orang awam berasa sedikit lega kerana meskipun tidak dapat makan di kedai kegemaran, dapat makan berhampiran kedai pun sudah mencukupi.
Tapi awas ye, baru-baru ini Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail memaklumkan tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan servis dine-in di dalam kereta buat para pelanggan.
Hal ini berikutan tindakan berkenaan dikatakan melanggar SOP sekaligus menasihatkan untuk menghentikan servis layanan sedemikian. Difahamkan, setakat ini sudah terdapat sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan servis dine-in dalam kenderaan.
Dalam pada itu, sekiranya pembelian makanan secara bungkus atau pandu lalu masih lagi dibenarkan. Dimaklumkan larangan penawaran servis dine-in dalam kereta adalah bertujuan untuk mengawal penularan COVID-19 yang membimbangkan di negeri berkenaan.
Tak apa, kita jaga SOP dan jaga diri duduk rumah buat masa sekarang. InsyaAllah tak lama lagi mungkin kita dapat makan di restoran atau kedai makan.
Sumber : Harian Metro