Pengajaran buat Neelofa, keluarga dan semua agar sentiasa mengikut SOP dan peraturan yang ditetapkan!
Setelah segala spekulasi yang berterbangan disebabkan tindakan usahawan dan pengacara popular apabila majlis perkahwinan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), akhirnya terjawap.
Terkini, selebriti dan usahawan Neelofa bersama suami dan 20 ahli keluarga lain dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 kerana melangggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan serta merentas negeri.
Berdasarkan perincian kompaun seperti yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, ACP Mohamad Zainal Abdullah, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor perlu membayar kompaun RM20,000 bagi dua kesalahan.
Ahli keluarga tidak terkecuali
Manakala, kesemua ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang pula dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000.00.
Kesemua ahli keluarga dikenakan tindakan tersebut kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nika berlangsung seperti mana arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB
Malah, Neelofa turut mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini:
“Assalammualaikum. Seperti yang telah diberitakan, ya, saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris. Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa dan juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP.
Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya. Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian.
Terima kasih.
Sebelum ini Neelofa turut membuat video pendek berdurasi 2 minit meminta maaf dan menjelaskan isu tersebut sebelum dikompaun. Kompaun berkenaan dikenakan ke atas keluarga berkenaan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Moga hal ini menjadi pengajaran buat kita semua dan jelas kata-kata netizen bahawa ada double standard tentang SOP dan kompaun yang dikenakan adalah tidak benar!
Sumber : Astro Awani
Pelakon Akui Ikut Ajaran Sesat, Bahaya Ajaran Millah Abraham Di Malaysia
Umat lslam hari ini memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi, dengan Islamphobia, pelbagai pendemik dan paling teruk ialah cabaran akidah yang boleh mengancam keselamatan akidah umat lslam sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dah Lama Perasan Tempat Ni,” Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu Di Lembah Klang?
Ancaman ajaran sesat adalah paling merbahaya kepada akidah umat lslam yang dibawa oleh individu atau golongan tertentu.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan seorang pelakon aksi, Pablo Amirul mengenai ajaran sesat Millah Abraham selepas ia tular di media sosial. Apa yang lebih mengejutkan, pelakon Polis Evo itu juga mengakui pernah terjebak dan kini menyesal mengikuti ajaran sesat tersebut.
Dalam masa sama, pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu memaklumkan sudah dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bakal bertemu jabatan agama dalam masa terdekat.
Terdahulu, menerusi perkongsian secara langsung di Facebook (FB), Pablo mendedahkan dirinya sudah dua tahun mengikuti ajaran sesat berkenaan. Jelas Pablo, dia berbuat demikian selepas mengikuti seorang wanita yang juga bekas kekasihnya dipercayai juruterbang.
Ajaran Millah Abraham Terpesong Dan Sangat Merbahaya
Ajaran Millah Abraham telah difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.
Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.
Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan artikel mengenai Millah Abraham di ruangan Bayan Linnas yang ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri satu ketika dahulu.
Millah Ibrahim & Penyelewengan Yang Terdapat Di Dalamnya
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:
1) Mendakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW
Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen ketika itu Allah akan menghantar rasul atau messiah (bahasa Ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولٞۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمۡ قُضِيَ بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ٤٧
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
(Yunus: 47)
Mereka menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Ibrahim@Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq seperti mana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.
2) Menggabungkan Tiga (3) Ajaran Agama Iaitu Islam, Kristian dan Yahudi
Selain terjemahan Al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam Al-Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah, ayat ke- 46 yang bermaksud:
وَقَفَّيۡنَا عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِم بِعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ ٱلۡإِنجِيلَ فِيهِ هُدٗى وَنُورٞ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٗ لِّلۡمُتَّقِينَ ٤٦
Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan Al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Oleh itu, selain Al-Quran mereka mendakwa bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen.
3) Meninggalkan Solat Lima Waktu & Solat Jumaat
Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Ibrahim bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-78:
وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨
Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Al-Hajj: 78)
Selain itu, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguh-sungguh menegakkan deen.
4) Mengadakan Bai’ah (perjanjian) Oleh Anggota Millah Ibrahim
Kumpulan ini juga mewajibkan anggotanya untuk membuat akujanji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen, bukannya mengharapkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa wajib bagi seorang isteri yang ingin menyertai Millah Ibrahim menuntut cerai jika suami menolak menyertai kumpulan ini atau sebaliknya.
**
Untuk info, setiap pengikut ajaran Millah Abraham perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan, menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.
Itu sebahagian dari modus operandi dan strategi ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.
Semoga Allah S.W.T melindungi dan memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Ameen.
BACA : Pelakon Remaja Ikuti Gerakan Agama Sesat? Syrul Ezwan Bagi Penjelasan
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
PPIM Bongkar Pelajar DiTipu RM70,000 Oleh Sebuah IPTS Di Utara, Ditawarkan Kerja Sebaik Tamat Belajar
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sangat dekat dengan kebanyakan pelajar. Setiap kali kemasukan baru ke universiti, bagi pelajar yang kurang berkemampuan, sudah pasti mengharapkan memperoleh pjnjaman dari PTPTN bagi meneruskan pengajian.
Tidak hanya memperjuangkan kes-kes penipuan pinjaman Ahlong, semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan satu sidang media isu pelajar ditipu Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sehingga terpaksa berhutang RM70,000 gara-gara “pemotongan ghaib” dilakukan oleh IPTS di utara tanah air. Bayaran sebanyak RM500 ditolak bagi setiap semesta dengan alasan kos pentadbiran antara kolej dan PTPTN.
Difahamkan, lebih 1000 orang pelajar telah terpedaya dan masing-masing menangggung hutang berbeza-beza mengikut kursus diambil selain pihak IPTS mendakwa graduan lebih mudah mendapat kerja apabila mengikuti pengajian di kolej berkenaan.
Seorang graduan, Noraini Muslim, 26 tahun, terpaksa menanggung bebanan hutang hampir RM70,000.00 gara-gara pemotongan bayaran “ghaib” berasingan yang ditolak melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi setiap semester oleh pihak kolej.
“Dalam surat perjanjian PTPTN sendiri hanya menyatakan berapa kita pinjam dan berapa kita perlu bayar balik. Itu sahaja.” keluhan Noraini Muslim yang hadir dalam sidang media ini bagi menceritakan pengalaman pahitnya ditipu sebuah IPTS yang terletak di Kedah.
“Anggaran graduan yang sudah terkena juga melebihi 1000 orang pelajar, melibatkan jumlah pinjaman yang berasingan mengikut kos yang dipilih.”
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada menerima banyak aduan berkaitan isu keculasan dan keengganan IPTS membayar semula baki yuran pemotongan daripada PTPTN selain aduan graduan terpedaya dengan janji manis IPTS bagi mendapatkan peluang pekerjaan selepas tamat sahaja tempoh pengajian.
Ketua Aktivis PPIM, Toqqi @ Nadzim Johan turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa IPTS yang mengambil kesempatan terhadap pelajar terutamanya apabila melibatkan hutang yang bakal ditanggung pelajar itu sendiri.
“Kita menitikberatkan perkara ini kerana tanpa diduga ia berlaku di IPTS, tempat menuntut ilmu, dan tiada penjelasan yang jelas tentang dua kos yang berasingan. Akhirnya nanti, pelajar keluar sahaja terus berhutang.”
“Satu perjanjian mesti jelas dan terang supaya tak terkejut, tetapi kenapa zakat juga dipotong secara tiba-tiba atas faktor wujudnya yuran pentadbiran? Apabila pelajar menyuarakan pendapat tentang isu terbabit, mereka akan dibuang atau digantung dari pengajian.”
Wujud persoalan apabila bantuan zakat yang diterima oleh pelajar pada setiap bulan juga dipotong 50% oleh IPTS tersebut juga tanpa sebarang notis.
Untuk pengetahuan semua, kes pelajar ini bukanlah yang pertama kali berlaku, terdapat ramai lagi graduan yang ditipu hidup-hidup dek promosi kolej yang mementingkan keuntungan semata. Di atas dasar kepercayaan ini juga, pengangguran yang tinggi di malaysia mencecah 504,500 orang yang juga terdiri dari pelajar lepasan IPTS dan IPTA.
Tuntasnya, harapan kita kepada pelajar agar mereka lebih berhati-hati dan berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pinjaman bagi melanjutkan pelajaran. Bak kata pepatah, “Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang”. Biar mereka jemu dinasihatkan janji perkara ini tidak berbuah dua kali.
“Saya menggesa IPTS sendiri perlu telus dalam menguruskan pelajar. Selain itu, Menteri Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat masalah ini serta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kelemahan yang mengkhianati agenda pendidikan Negara.” tegas Toqqi di akhir sidang media ini.
Sementara itu, dalam maklum balas berkaitan isu yang kecoh diperkatakan, PTPTN telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai isu ini.
SECARA rasmi PTPTN tidak menerima aduan daripada pelajar berkaitan isu yang dibangkitkan oleh PPIM. Namun demikian kita pandang serius isu ini, dan akan mengambil tindakan lanjut sesuai dengan bidang kuasa mengikut akta dan peraturan yang kita ada.
Sudah tentu sebagai Pengerusi PTPTN, pasti saya ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan perkara dibangkitkan dalam sidang media mengenai isu IPTS Perdaya Pelajar yang diadakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Toqqi @ Datuk Nadzim Johan pada 4 Januari 2018 sebelum sesuatu tindakan diambil.
PTPTN sentiasa mengutamakan penerima pinjaman PTPTN. Justeru itu bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, PTPTN seberapa segera akan mengadakan perbincangan dengan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelajar berkenaan mengenai isu yang dinyatakan dalam masa terdekat setelah maklumat lengkap PTPTN perolehi. Diharapkan masalah ini akan dapat diatasi segera dengan perbincangan yang diadakan kelak, dengan melibat semua pihak mengikut bidang kuasa yang PTPTN ada.
Bagi PTPTN sewajarnyalah IPTS mesti lebih telus dalam menguruskan perihal pelajar. Namun demikian, sekali lagi saya nyatakan jika terbukti dan beberapa perkara yang berlaku itu di bawah bidang kuasa PTPTN kita akan ambil tindakan mengikut kuasa yang ada. Walau bagaimana pun jika ianya dibawah kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) maka pastinya kita akan berbincang dengan mereka agar perkara ini diselesaikan jika betul ia berlaku.
Apapun PTPTN akan meneliti perkara ini kerana PTPTN bertanggungjawab memastikan pelajar yang menerima pembiayaan kita diberikan pembelaan. PTPTN juga berharap PPIM dapat berkerjasama dgn menyalurkan maklumat yg mereka ada dan PTPTN akan melihat tindakan yang bersesuaian mengikut kuasa yang kita ada.
YB Dato’ Dr Shamsul Anuar bin Hj Nasarah
Pengerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Remaja mengharapkan di sebalik kemelut yang timbul, jangan sampai golongan pelajar yang menjadi “mangsa “ kerakusan pihak tidak bertanggungjawab kerana masa depan generasi muda ini masih lagi panjang.
Sumber:-Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Mampu Hafal 40 Bendera Dalam Masa Seminit Pada Usia 2 Tahun! Kanak-Kanak Comel Ini Raih ‘Malaysia Book Of Records’
Seorang kanak-kanak comel yang baru sahaja berusia dua tahun sembilan bulan telah menjadi perhatian ramai selepas tular video menunjukkan kekuatan daya ingatannya.
Kanak-kanak bernama Aavyn Eliseus Ng itu boleh mengingati 40 jenis bendera berbeza dalam tempoh satu minit dan berjaya meraih anugerah Malaysia Book Of Records (MBOR) untuk kategori Bendera Antarabangsa Paling Banyak Dikenalpasti Oleh Seorang Anak Kecil Dalam 1 Minit.
ARTIKEL BERKAITAN: Comel Sangat Sampai Selalu Dijadikan ‘Sticker WhatsApp’, Netizen Terkejut Si Comel Dah Besar!
Bukan itu sahaja, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan kanak-kanak lelaki tersebut secara peribadi.
Mereka telah bertemu pada 28 Ogos lalu dan Aavyn tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan kemahirannya kepada Yeoh dengan mengenal pasti 16 buah bendera di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan.
Yeoh berkongsi video itu di akaun media sosial miliknya pada 8 September dan meraih perhatian rakyat Malaysia kerana tidak semua orang mampu untuk mengenal pasti 14 buah bendera Malaysia dengan betul.
Di ruangan komen video berkenaan, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum melihat kepantasan kanak-kanak tersebut berjaya menamakan kesemua bendera setiap negeri di Malaysia dalam masa satu minit sahaja.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Facebook Erica Ng Joe Yin