Menuntut di Institusi Pengajian Tinggi dan dalam masa yang sama menjadi wakil universiti sebagai seorang atlet sukan bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.
Bagi Ummu Nusrah Omar, pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM yang kini menuntut pada tahun akhir mengakui bahawa tugas yang digalas sebagai atlet sukan Petanque yang banyak menghabiskan masa untuk menyertai kejohanan terbuka SUKIPT dan sebagainya. Secara tak langsung, ia sedikit sebanyak menjejaskan fokusnya pada akademik.
Bukan saja itu, pada semester yang lepas juga Ummu merupakan mantan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Enambelas (Exco Sukan). Dengan segala tanggungjawab yang diberi, gadis ini tetap berusaha untuk mengulangkaji pelajaran.
“Alhamdulilah, saya mampu menguruskan masa dengan sebaiknya dan mengekalkan keputusan Dekan setiap semester. Program yang saya ambil di UPM iaitu Bahasa dan Linguistik Melayu merupakan program yang mencabar dan tidak seperti yang dijangka,”
“Saya memerlukan kefahaman yang tinggi untuk setiap subjek dan memerlukan masa yang sebaiknya untuk dibahagikan seperti masa untuk menyiapkan tugasan individu dan berkumpulan, masa untuk program kolej, berlatih untuk kejohanan Petanque yang terdekat dan masa sendiri untuk belajar,” jelas pelajar ini.
Jadi, apa yang dilakukan oleh Ummu sehingga dia boleh mendapat keputusan Dekan pada setiap semester? Dia mengakui bahawa setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk mencapai kejayaan. Namun baginya, ini 10 tip yang dilakukan dan dilihat sesuai dengan semua lapisan umur yang bergelar pelajar.
1. Salin kata kunci sahaja semasa kuliah
2. Jaga hubungan dengan Allah, ibu bapa, pensyarah/guru, kawan dan orang sekeliling
3. Baca berulang kali : Sekurang-kurangnya 4 atau 5 kali
4. Teknik menghafal dan tulis semula ayat yang penting
5. Bangun awal (3 pagi atau 4 pagi) : Lakukan solat sunat dahulu dan mula ulang kaji
6. Bijak membahagikan masa dengan sebaiknya
7. Sentiasa reward untuk diri : Makanan atau barangan
8. Ulang kaji hanya 2 jam atau 3 jam : Seeloknya malam atau pagi
9. Fokus semua bab apabila peperiksaan
10. Amalkan makanan sunnah : Madu, kismis hitam, kekacang, kurma
“Saya juga merupakan seorang yang berdikari dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan apa jua yang saya suka untuk mendapatkan pengalaman dan meningkatkan kemahiran insaniah sebagai seorang pelajar yang berwawasan tinggi,” tambahnya lagi.
Oleh sebab itu, keseimbangan sukan dan akademik banyak membantu Ummu Nusrah telah pun membuktikan walaupun sentiasa aktif dalam apa juga program di kolej, dia masih tetap berada di landasan yang benar dengan mendisiplinkan diri untuk merancang pengurusan masa dengan baik.
Kalau gadis ini boleh buat, kenapa pula korang tak boleh kan?