Tidak Ambil Sarapan, Kurang Tidur Punca Remaja 12 Tahun Rebah Lepas Vaksinasi

Share

 

Tular satu kejadian semalam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang Melaka apabila seorang remaja lelaki berusia 12 tahun dilaporkan rebah setelah menerima suntikan vaksin.

Maka timbullah pelbagai spekulasi setelah satu klip video berdurasi 36 saat tersebar meluas di media sosial.

Namun selepas siasatan segera yang dilakukan oleh pihak Kesihatan (Kesihatan Awam) Melaka, mereka mendapati bahawa remaja tersebut rebah disebabkan tidak mengambil sarapan sebelum temujanji vaksinasi di samping kurang tidur dan dilanda rasa gementar untuk mengambil suntikan.

Dia dilaporkan tidur lewat pada jam 2 pagi pada malam sebelumnya dan hanya sempat makan sesudu nasi lemak pada pagi semalam.

Biarpun tidak menunjukkan kesan sampingan dalam masa terdekat selepas vaksinasi, remaja itu secara tiba-tiba menjadi lemah dan rebah ketika dalam perjalan menuju tempat parkir kenderaan hingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) orang awam untuk masuk semula ke PPV tersebut untuk pemeriksaan lanjut.

Selepas hampir 30 minit di sana, dia kembali stabil dan dibenarkan pulang. Pemeriksaan lanjut selepas dia pulang juga mendapati remaja tersebut sudah sihat dan aktif dengan rutin harian seperti biasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pada itu berkata mereka akan segera menyiasat kejadian tersebut bagi rujukan akan datang akibat daripada ketidaksediaan sebelum menerima vaksinasi dalam kalangan remaja bawah 18 tahun.

Sumber: BERNAMA

 

Published by
FZ