Baru-baru ini, pada 1 Januari lalu kita baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru 2025 dengan penuh kegembiraan bersama keluarga dan rakan-rakan sekaligus bagi umat Islam menyambut kedatangan bulan Rejab.
Walau bagaimanapun, ada beberapa masyarakat yang tidak menyambut tahun baru mengikut perspektif kalendar gregorian atau moden pada setiap 1 Januari seperti yang digunakan di seluruh dunia kerana masih mengikut budaya, kaum dan agama masing-masing. Jadi, meh REMAJA kongsikan pada pembaca beberapa jenis tahun baru yang wujud di seluruh dunia.
Di Rusia, terdapat sambutan Stary Navy God atau Tahun Baru Ortodoks yang disambut pada 14 Januari. Ini disebabkan Gereja Ortodoks di beberapa daerah di Rusia masih menggunakan kalendar Julian yang berbza daripada kalendar yang kita gunakan. Sambutan ini juga disambut dengan cara lebih tradisional dan diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.
Unik! Perayaan Enkutatash pula disambut oleh masyarakat di negara Ethiopia dan mereka menggunakan kalendar Ethiopia yang mempunyai 13 bulan. Enkutatash disambut pada setiap 11 September dan ia menandakan berakhirnya musim hujan dan permulaan musim menuai, dengan aktiviti seperti nyanyian, tarian, dan perhimpunan keluarga. Kalau anda nak tahu, pada saat artikel ini diterbitkan di Ethiopia kini masih berada di tahun 2017 ya!
Perayaan Kha-b Nisan ini melambangkan permulaan bagi musim bunga dan kehidupan baru. Ia disambut oleh komuniti Assiria yang berada di Iraq, Syria, Turki dan Iran pada setiap 1 April dan ia diraikan dengan pelbagai acara tradisi seperti perarakan, tarian, dan acara kebudayaan.
Tahun baru Bengali atau Pohela Boishakh disambut pada setiap 14 April dan ia merupakan sambutan yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, menandakan permulaan tahun baru dalam kalendar Bengali. Perayaan ini dimeriahkan dengan pawai, muzik, tarian, dan makanan tradisional.
Bagi masyarakat Hindu di Bali, Indonesia, terdapat perayaan Nyepi yang menandakan tahun baru dalam kalendar Saka. Pada hari perayaan Nyepi, seluruh pulau akan sunyi sepi dimana tidak akan ada sebarang aktiviti, perjalanan sebarang kenderaan, atau hiburan yang dibenarkan. Tujuannya adalah untuk refleksi diri dan meditasi. Menariknya, lapangan terbang dan jalan raya juga ditutup sepanjang hari tersebut bagi menghormati Nyepi.
Akhir sekali, bagi umat Islam, mereka mempunyai Tahun Baru Hijrah atau Maal Hijrah yang disambut pada setiap 1 Muharam mengikut kalendar Islam. Ia bagi mengimbau kembali kepada perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah iaitu bukan sekadar perjalanan jauh, tetapi perjalanan menuju perubahan, harapan, dan keberkatan.
Ringkasnya, walaupun setiap masyarakat di seluruh dunia menyambut tahun baru dengan cara yang berbeza mengikut tradisi, agama, dan kalendar mereka sendiri, semuanya mempunyai makna yang mendalam dan mengikut kepercayaan serta budaya masing-masing.
Sama ada melalui perayaan yang melibatkan nyanyian, tarian, refleksi diri, atau kebersamaan keluarga, tahun baru adalah masa untuk memulakan lembaran baru, memperbaharui semangat, dan merancang masa depan yang lebih baik.
Apa yang pasti, setiap sambutan ini memperlihatkan betapa kaya dan berwarna-warni kepelbagaian budaya manusia di seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.