“Di akhir siaran berita, kami sampaikan ayat bagi menimbulkan persoalan dalam minda rakyat dan mengajak mereka berfikir..”
Tahun 2022 bakal menyaksikan saluran Awesome TV untuk berkembang dengan lebih luas susulan pengenalan slot berita pertamanya yang dikenali sebagai Berita 7.57.
Keudara setiap hari dari jam 7.57 malam hingga 8.30 malam, empat orang penyampai berita mereka telahpun diumumkan pada Majlis Sidang Media Pengumuman Kolaborasi Strategik Berita 7.57 dan Datuk Aznil Haji Nawawi pada minggu ini. Mereka terdiri daripada Dr Mohd Ghazali Taib, Ain Syuhada Ahmad Bohari, Nadhra Mohd dan Adriana Ghafar.
Dengan membawa slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’, baru-baru ini Berita 7.57 tular di media sosial berikutan penyampaian beritanya yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak serta bersifat tulus.
@berita757 Berita 757 | Denda tidak pakai pelitup muka RM1,000, denda tidak pakai pelitup muka ada cap Sirim RM100,000? #Berita757 #RakyatKeutamaanKami ♬ original sound – Berita 757
REMAJA berpeluang berhubung dengan salah seorang penyampainya iaitu Adriana Ghafar untuk bertanyakan mengenai konsep penyampaian Berita 7.57 yang dilihat berbeza dengan slot-slot berita di saluran utama lain. Sebagai ‘pemain terbaru’ dalam gelanggang berita nasional, adakah mereka bersedia menjadi perhatian orang ramai?
“Apabila satu, dua hantaran kami di TikTok dan Instagram tular baru-baru ini, timbul jugalah sedikit rasa takut memandangkan banyak mata yang mula memerhati.
“Tular atau tidak, saya percaya bilik berita tidak menjadikan ia satu isu besar pun kerana ‘DNA’ Berita 7.57 sememangnya berlandaskan suara rakyat. Oleh itu, kami akan terus saja fokus dengan matlamat untuk menyampaikan berita secara adil dan neutral.
“Konsep Berita 7.57 adalah lebih santai dan direct; di mana suara rakyat yang sering diutarakan di media sosial akan kami dengari dan sampaikan. Kami faham, kadang-kadang apa yang warganet sampaikan boleh berbaur emosi dan tidak 100 peratus berlandaskan fakta. Jadi kita selidik dahulu info, ‘tapis’ dan tidak berpihak kepada satu kumpulan semata-mata.
“Di akhir siaran berita, kami sampaikan ayat bagi menimbulkan persoalan dalam minda rakyat dan mengajak mereka berfikir. Bagi saya, konsep ini adalah sesuatu yang baru dan penonton Malaysia inginkannya,” ujar Naib Juara pencarian Dewi Remaja 2019 ini.
Sekian lama, peluang untuk duduk di kerusi penyampai berita telah diidam-idamkan olehnya. Seawal pertengahan tahun 2021 sewaktu Adriana menyertai temuduga bersama pemilik stesen Awesome TV, dia kemudian terpilih di antara 15-20 penyampai berpotensi untuk melalui beberapa peringkat.
@berita757 Berita 757 | Saksikan kami setiap hari jam 7:57 malam di Awesome TV, saluran 123 ASTRO, saluran 112 MyTV. #Berita757 #RakyatKeutamaanKami ♬ original sound – Berita 757
“Kami berempat berdepan ujian mock run dan temuduga sebelum akhirnya dipilih sebagai batch pertama penyampai berita bagi saluran ini. Saya terus mengikuti proses latihan sejak bulan November hingga kini bagi memperbaiki cara penyampaian dan keyakinan.
“Nampak mudah kan bila kita menonton berita di kaca TV, namun tugasnya bukan sekadar baca berita saja. Selain intonasi penyampaian, pembawakan diri saya juga perlu disesuaikan dengan tugas di bilik berita,” tambahnya lagi yang tidak sabar untuk menyertai sesi bimbingan bersama tenaga pengajar Berita 7.57, Datuk Aznil Nawawi bermula hari ini.
Adriana berharap agar dia dapat mencedok sedikit sebanyak pengalaman Aznil selama 30 tahun dalam bidang penyiaran bagi memperkuatkan identitinya sebagai penyampai berita.
Berita 7.57 keudara di Astro saluran 123 atau MyTV saluran 112.
ARTIKEL BERKAITAN : Adriana Ghafar Tak ‘Hilang’ Cuma Utamakan Pendidikan – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.