Tiga Pelajar Malaysia Berjaya Ke Universiti Harvard

Share

Anak muda Malaysia terus cemerlang…

Untuk merebut tempat di universiti bertaraf ivy-league bukanlah mudah. Permohonan bukan sekadar melihat kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi turut dinilai secara holistik semasa sesi temu duga diadakan.

Terbaharu, tiga remaja Malaysia iaitu Ho Shu Xin dari Ipoh, Pua E Rick dan Sydny Lum Shen Li dari Kuala Lumpur akan menyertai Universiti Harvard bagi kelas 2027. Ketiga-tiga mereka adalah antara pelajar antarabangsa yang dipilih dari 102 negara untuk menghadiri institusi berprestij itu.

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, pelajar antarabangsa membentuk 14.5% daripada keseluruhan 1,942 pelajar yang diterima masuk. Universiti Harvard menerima sejumlah 56,937 permohonan, dengan kadar penerimaan hanya 3.41%.

Universiti Harvard memiliki sejarah panjang dalam melahirkan graduan berprestasi tinggi.

Mengenali dengan lebih dekat tiga pelajar cemerlang ini. Shu Xin menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMJK Ave Maria Convent, Ipoh, manakala E Rick pula menamatkan SPM di Sekolah Menengah Sri KDU dan Sydny menamatkan IGCSE di Cempaka International School.

Kedua-dua, Shu Xin dan E Rick kini sedang menamatkan A-Level di Kolej Yayasan UEM manakala Sydny pula merupakan pelajar A-Level di Garden International School (GIS).

Shu Xin ialah seorang penerima biasiswa Yayasan Khazanah dan berhasrat untuk mengambil jurusan Psikologi Pendidikan. E Rick akan melanjutkan pelajaran dalam Sains Biologi dan Sydny, seorang penerima biasiswa GIS merancang untuk mengambil jurusan Ekonomi.

BACA JUGA: Merupakan Bekas Pelajar Harvard Dan Oxford. Sultan Nazrin Shah Miliki PhD Dalam Bidang Politik Ekonomi Dan Kerajaan

Mengenai kemasukan, penemuduga alumni Harvard, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob berkata bahawa universiti mencari pelajar yang mempunyai pertumbuhan dan potensi dan yang akan mendapat manfaat daripada akses kepada sumber di Harvard untuk mencipta perubahan positif bagi dunia.

Wan Nadiah

“Pelajar diterima semata-mata berdasarkan keupayaan dan perwatakan mereka tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi dan kemampuan kewangan untuk membayar. Jika pelajar diterima masuk, Harvard komited untuk memastikan mereka mampu untuk menghadirinya.

“Ini memberi peluang kepada pelajar berbakat di seluruh dunia, termasuk Malaysia, untuk mengakses sistem penyelidikan dan pendidikan bertaraf dunia,” ujar Wan Nadiah dalam satu kenyataan.

Sumber: Twitter Wan Nadiah

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen