Berita

Tiga Pelajar Orang Asli Gua Musang Cipta Teknologi Robotik Rumah, Bakal Wakili Negara Ke International Robot Olympiad Di Korea

Share

Kepayahan hidup masyarakat Orang Asli yang masih menjalani kehidupan secara tradisi memberi inspirasi kepada tiga murid kaum Temiar melakar sejarah apabila berjaya mencipta inovasi menggunakan sistem robotik yang membantu memudahkan urusan harian di rumah tradisi mereka.

Menerusi projek yang beri nama Dekatamiar yang dianggotai oleh Romzi Anjang dan Siti Saleha Masri, yang berumur 12 tahun, dan Mekrenik Rabu (11) berjaya mengaplikasikan teknologi robotik dalam rumah tradisi Orang Asli, membabitkan bukaan pintu, lampu, tempat sidai pakaian dan kawasan siraman pokok.

Menurut guru pembimbing mereka, Ahmad Najmuddin Jaafar berkata, produk ciptaan ketiga-tiga murid melalui projek Dekatamiar itu akan dipertandingkan dan mewakili negara ke International Robot Olympiad 2024/2025 di Busan, Korea Selatan yang berlangsung pada 16 hingga 21 Feb 2025.

Kredit: Ahmad Najmuddin Jaafar

“Dekatemiar bermaksud Rumah Temiar dan ia melambangkan suku kaum mereka di sini. Rumah ini dibina menggunakan bahan semula jadi dengan atapnya diperbuat daripada daun nipah manakala dinding pula dihiasi anyaman kelarai”

Jelasnya, idea membina rumah Orang Asli dengan sistem robotik ini tercetus apabila mendengar keluhan mengenai kepayahan hidup keluarga mereka.

Kredit: Ahmad Najmuddin Jaafar

“Antara kejayaan yang berjaya dirangkul murid-murid ini adalah naib juara robotik di Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Kebangsaan dan tempat ketiga RBTX Challenge 2024 kebangsaan kategori Indigenous Culture and Technology anjuran Petrosains,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga sudah menerima surat jemputan daripada Jawatankuasa International Robot Olympiad untuk menyertai pertandingan International Robot Olympiad di Busan, Korea pada 17 Januari tahun depan.

Kini, ketiga-tiga pelajar itu giat memperkemas model rumah robotik sebelum bersedia membawanya ke pertandingan antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
ZOE