Konflik yang melanda etnik Uighur di China masih menjadi perdebatan antarabangsa sehingga kini. Banyak pihak menyelar tindakan kerajaan China yang meletakkan rakyat etnik Uighur yang beragama Islam ke pusat tahanan dan merantai kebebasan mereka. Antara yang terkesan dengan tindakan kerajaan China ini ialah pasangan muda Sadam Abudusalamu dan isterinya, Nadila Wumaier.
Sadam merupakan warganegara Australia manakala isterinya pula merupakan warganegara China dan kedua-duanya berasal dari etnik Uighur. Sadam yang sudah tinggal di Australia lebih 10 tahun, melawat China pada tahun 2016 untuk mengahwini isterinya itu.
Dia kembali ke Australia pada tahun 2017 untuk bekerja sementara isterinya menunggu di China sehingga proses mendapatkan visa pasangan untuk masuk ke Australia selesai. Pada tahun yang sama Nadila telah melahirkan anak sulung mereka namun visa Sadam untuk melawat isterinya tidak diluluskan oleh kerajaan China.
Selepas melahirkan anak, keluarga mereka berkata yang Nadila telah ditahan oleh pihak berkuasa China selama dua minggu sebelum dilepaskan. Namun begitu passportnya telah dirampas dan dia tidak dibenarkan meninggalkan rumah.
PERJUANGAN
Selama dua tahun berjuang, Sadam dengan pertolongan kerajaan Austalia telah berhubung dengan kerajaan China untuk membenarkan isterinya meningalkan negara untuk bersamanya di Australia. Walaupun isterinya adalah warganegara China namun anak lelakinya itu diakui sebagai warganegara Australia berikutan rayuan oleh Sadam pada tahun 2019.
Pada bulan Februari tahun ini, wakil ketua misi China di Australia, Wang Xining, mengatakan di rangkaian televisyen ABC yang Wumaier tidak mahu meninggalkan Xinjiang. Namun perkara sebenar terbongkar apabila Nadila memuatnaik gambar ke Twitter yang memegang kertas dengan mesej ‘Saya mahu pergi dan bersama suami saya’.
Akhirnya setelah bertahun terpisah, pasangan ini akhirnya berjaya disatukan di Sydney, Australia. Menurut peguam yang mewakili Sadam, Michael Bradley kepada BBC, “Kami mengetahui yang Nadila dan anak mereka, Lutfy boleh meninggalkan China kira-kira dua ke tiga bulan lalu.”
Setelah menempuh perjalanan lebih 48 jam akhirnya Nadila dan anaknya tiba di Brisbane, Australia dan mejalani proses kuarantin di sebuah hotel di sana sebelum tiba di Sydney pada Jumaat untuk bersama suaminya. Kini mereka memulakan kehidupan baru dan dalam nota yang dimuat naik di Twitter, Sadam meminta media supaya menghormati privasi mereka.
Sumber: BBC, AlJazeera & FMT
Sumber Gambar: Twitter Sadam Abudusalamu