Ramai yang sudah sedia maklum setiap kali musim perayaan, tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak akan menjadi berlipat ganda harganya. Hal ini membuatkan ramai golongan B40 termasuklah para pelajar terbeban dengan harga tiket, malah ada yang terpaksa membatalkan niat untuk pulang ke kampung gara-gara tidak berkemampuan.
Tambah pula, sudah dua tahun umat Islam tidak dapat menyambut lebaran bersama keluarga di kampung, jadi tahun ini ramai yang ingin mengambil kesempatan untuk pulang ke desa. Namun, dek kerana harga tiket yang melambung tinggi, ia sudah menjadi satu masalah buat mereka yang tidak berkemampuan.
Baru-baru ini, pihak BERNAMA telah membuat pemantauan di laman web syarikat penerbangan komersial dan ia menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu meningkat sekitar 566 peratus menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April-8 Mei).
Menurut Lily Surianti Suardi, pelajar dari Sabah yang mengikuti program ijazah di Universiti Selangor (UniSEL), dia berpendapat bahawa syarikat penerbangan harus mempertimbangkan untuk menetapkan kadar berasingan bagi penuntut yang melanjutkan pengajian di Semenanjung.
Ini kerana tidak semua penuntut daripada keluarga berkemampuan dan oleh itu syarikat penerbangan tidak boleh menetapkan harga yang melebihi kemampuan semua pihak, terutama golongan pelajar.
“Jika harga tiket (kira-kira) RM1,000 hanya untuk harga tiket penerbangan, banyak pihak yang tidak mampu, lebih-lebih lagi ditambah dengan pendapatan keluarga ekonomi rendah.
“Ada yang datang daripada kalangan B40 ingin balik raya namun disebabkan harga tiket melonjak naik, penuntut macam saya membatalkan hasrat untuk pulang raya di kampung halaman,” jelasnya.
Khabarnya, tiket sehala oleh AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sandakan dijadual berlepas pada 30 April ini berharga RM1,409 manakala harga tiket pergi balik oleh FireFly bagi laluan sama dan tarikh yang sama berharga RM1,400.
Tinjauan juga menunjukkan ramai pengguna yang telah membuat pembelian tiket penerbangan untuk musim perayaan seawal tahun lepas.
Rata-rata warganet meluahkan rasa kesal dengan peningkatan harga tiket penerbangan ini sejak dari dahulu lagi.
Diharap pihak terbabit mengambil langkah sewajarnya bagi memantau semula kenaikan harga tiket khususnya semasa musim perayaan.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)