Timbalan Menteri Jawap Kenapa Harga Barang Masih Tinggi & Tak Turun Selepas SST Di Dewan Rakyat

Share

Jika sebelum ini Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadi pertikaian rakyat sehingga menjadi salah satu faktor penyebab berlakunya perubahan pentadbiran negara tentu ramai yang mengharapkan berlakunya penurunan harga apabila SST diperkenalkan.

Namun selepas 4 bulan lebih memerintah negara, rata-rata rakyat masih bertanya dan inginkan satu jawapan tepat kenapa harga terutama barangan keperluan masih tinggi harganya.

Semalam bagi persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menjawap persoalan mengapa harga barangan masih tinggi ketika menjawap soalan dari Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang meminta penjelasan harga barangan masih tinggi dan tidak turun, walaupun sistem percukaian negara kembali kepada SST.

Menurut Timbalan Menteri ini,  sebanyak 27% atau 115 daripada 417 barangan mengalami kenaikan harga antara 0.09% hingga 41.65%, selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

115 barangan pelbagai produk mengalami peningkatan harga sehingga 41.7 peratus selepas SST

Beliau berkata, 70% atau 291 barangan mencatat penurunan antara 0.11 hingga 37.61%, manakala baki harga 11 barangan tidak berubah berdasarkan perbandingan harga antara Mei hingga September lalu.

Katanya, 417 barangan itu merangkumi 6 kategori, iaitu 136 barangan segar, barangan kering (25), barangan berbungkus, tin, pek dan botol (159), minuman (25), makanan dan barangan bayi (49) serta barangan kebersihan (23).

Chong Chieng Jen berkata, kerajaan menjangkakan harga barangan akan menunjukkan perubahan lebih ketara apabila stok yang dikeluarkan mulai September berada di pasaran. (Gambar Bernama)

Chong berkata, memandangkan SST dikenakan di peringkat pengeluar, impak cukai jualan ke atas harga barangan keperluan belum ketara pada awal pelaksanaan.

“Kementerian menjangkakan harga barangan akan menunjukkan perubahan lebih ketara apabila stok yang dikeluarkan mulai September berada di pasaran.

“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga barangan keperluan pengguna di pasaran bagi memastikan harga yang dikenakan adalah berpatutan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang meminta penjelasan harga barangan masih tinggi dan tidak turun, walaupun sistem percukaian negara kembali kepada SST.

Sumber : FREE MALAYSIA TODAY

Published by
Almaswa Haji Che Ros