Sekiranya tahun lalu pelakon Willy Wonka, Timothée Chalamet mengejutkan ramai peminat apabila memperkenalkan kekasihnya, Kylie Jenner di acara Golden Globes Awards 2024 sebagai peneman.
Tahun ini, ramai pula peminat yang terkejut apabila mendapati hubungan mereka berjaya bertahan lebih dari setahun apabila Timothée sekali lagi ditemani Kylie di acara tersebut pagi ini.
Timothée yang dicalonkan untuk kategori lakonannya sebagai Bob Dylan dalam filem biopik muzikal, A Complete Unknown dilihat meluangkan masa di mejanya bersama Kylie tanpa menghiraukan pandangan orang di sekeliling.
Meski hubungan mereka sering dipandang serong oleh kelompok haters Kylie yang merasakan mereka tidak sepadan, Timothée tidak menjadikan negativiti tersebut sebagai ‘kudis’ dalam perhubungan mereka.
Kylie, bagaimanapun dipercayai lebih sedar dengan pandangan warganet dan sekali lagi (seperti tahun lalu) memilih untuk tidak berjalan di karpet merah bagi mengelak pertanyaan wartawan mengenai hubungan mereka.
Baru-baru ini, warganet hangat membincangkan spekulasi kononnya mereka berdua telahpun mengikat tali pertunangan. Tidak lekang juga gosip mengenai status Kylie yang katanya sudah berbadan dua.
Biarpun dihambat perkhabaran liar sedemikian, baik Timothée mahupun Kylie menutup mulut daripada menceritakan secara terperinci mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi mereka.
Sebaliknya, senyuman pada wajah mereka ketika kamera membidik kelibat masing-masing di acara Golden Globes 2025 menceritakan betapa mereka gembira apabila dapat bersama secara terbuka.
Adakah korang rasakan hubungan cinta ini ikhlas ataupun seperti yang diperkatakan peminat, ia sekadar stun promosi oleh ejen mereka berdua?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.