Tiga tahun lalu, rapper popular Malaysia Joe Flizzow telahpun mencipta kejayaan selepas menggondol kategori Best Southeast Asia Act di anugerah MTV European Music Award (MTV EMA).
Joe yang pada ketika itu berada di Sepanyol bagi menghadiri anugerah yang menentukan para pemenangnya menerusi undian peminat seluruh dunia itu telah menzahirkan penghargaannya kepada mereka yang terus-menerus menyokongnya sejak hari pertama berkecimpung dalam industri muzik terutamanya ahli keluarga serta peminat. Tidak ketinggalan, rapper berusia 41 tahun itu juga telah mendedikasikan anugerah tersebut kepada rakyat Malaysia.
Menariknya bagi MTV EMA 2021 yang bakal berlangsung pada 15 November ini, seorang lagi penyanyi negara telah mewakili Malaysia setelah tercalon dalam kategori yang sama. Kali ini, tiba pula giliran pencipta, penulis lirik, penyanyi dan pelakon muda serta berbakat besar, Naim Daniel.
Setelah namanya tercalon sekaligus mewakili Malaysia pada edisi kali ini, penyanyi Sumpah itu hanya boleh melafazkan rasa syukur dan teruja apabila tercalon kerana dirinya tidak langsung menjangkakan peluang tersebut.
Kongsi Naim kepada sebuah portal tempatan
, pencalonan di MTV EMA saja sudah merupakan satu pencapaian besar buat dirinya sebagai seorang anak seni dan kemenangan dianggap sebagai bonus.“Tipulah kalau sesiapa saja yang dicalonkan tidak ada perasaan nak menang. Saya nak menang, tetapi apapun rezeki Allah yang tentukan.
“Perjalanan ini merupakan perjalanan semua orang. Saya rasa pencalonan ini merupakan pencalonan kita bersama sebab saya bawa harapan semua orang,” kata penyanyi berusia 24 tahun itu.
Menerusi kategori Best Southeast Asia Act itu, Naim berdepan dengan saingan hebat penyanyi muda dari rantau ini seperti SB19 (Filipina), Ink Waruntorn (Thailand), JJ Lin (Singapura), K-1CM (Vietnam) dan Lyodra (Indonesia).
Jadi ayuh kita mengundi Naim di www.mtvema.com/en-asia-pacific/vote/ sehingga 10 November ini . Tinggal satu hari je lagi gaiss untuk menekan butang undian! Sama-sama kita nantikan keputusannya pada acara anugerah MTV EMA 2021 yang akan bersiaran pada 15 November 2021 (waktu Malaysia) di mana acara pra-anugerah akan bermula pada jam 8 malam manakala acara utama bermula pada 8.50 malam.
Pada edisi kali ini, beberapa penghibur popular antarabangsa dijangka akan melakukan persembahan termasuklah Ed Sheeran, Imagine Dragons, Griff, YUNGBLUD dan ramai lagi.