Inpirasi

Tinggalkan Awan Biru Untuk Jadi Usahawan Wangian, Finalis Dewi Remaja 2014/15 Tiya Shahid Tak Toleh Ke Belakang

Share

Platform pencarian Dewi Remaja sememangnya sudah terbukti melahirkan wanita berkeperibadian tinggi dengan semangat serta iltizam untuk berjaya dalam aliran masing-masing.

Baik dalam bidang seni hiburan tanah air mahupun cabang kerjaya lain termasuklah perniagaan, tidak disangkal lagi yang rata-rata para alumni Dewi Remaja terdiri daripada individu yang mempunyai misi tersendiri untuk berjaya dan mencapai cita-cita.

Lihat sahajalah kepada nama-nama gah seperti Neelofa, Izara Aishah, Scha Alyahya dan Anzalna yang masing-masing telah melangkah masuk ke dalam bidang perniagaan.

Terbaru, bekas finalis pencarian Dewi Remaja 2014/15 iaitu Athira Mohamed Shahid ialah salah seorang usahawanita baharu yang sedang menapak menerusi perniagaan produk wangiannya, Beauboss Perfume.

Athira atau lebih mesra dengan panggilan Tiya Shahid terdahulu pernah mencedok pengalaman sebagai pramugari usai menamatkan perjalanannya dalam Dewi Remaja. Beberapa tahun berada di awan biru, hati Tiya bagaimanapun tetap terarah kepada impiannya untuk bergelar seorang usahawan.

Tiya Shahid Penerima Nona Superwoman Award 2024

Memetik kenyataan kepada Majalah Nona yang mengiktiraf Tiya sebagai penerima anugerah Nona Best Fragrance Brand Award di acara Nona Superwoman Award 2024 baru-baru ini, Tiya mendedahkan dirinya telahpun ‘dilatih’ untuk menjual sejak kecil menerusi barangan seperti nasi lemak, brownies, taufufa, shawl dan abaya.

Apabila bergelar kru kabin, Tiya melihat peluangnya untuk menceburi perniagaan wangian semakin luas terbuka dan dari situ hadirnya kekuatan untuk dia memulakan langkah sulungnya dengan Beauboss Perfume.

“Pengalaman bertugas di awan biru membawa saya mengenali pelbagai jenis wangian dan memberi inspirasi untuk saya melahirkan jenama saya sendiri.

“Saya memulakan jenama ini dengan modal yang terhad, malah terpaksa menggunakan kaedah pre-order bagi membina kepercayaan pelanggan,” katanya yang juga terinspirasi dengan kisah kejayaan ibunya sendiri dalam bidang perniagaan sehingga mampu memiliki kediaman, kenderaan dan kewangan yang diimpi-impikan.

Dalam pada itu, Tiya sempat berkongsi kepada gadis-gadis yang ingin bergelar usahawanita kelak untuk berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan meletakkan sepenuhnya urusan kepada Allah SWT sebagai pegangan hidup dalam kehidupan serta perniagaan. “Setiap rezeki sudah ditetapkan Allah,” titipnya.

Tiya juga berkata amat penting untuk seseorang ‘berangan’ luas dan mengejar angan-angan itu. Sepertinya sendiri yang ingin melihat jenama wangiannya itu dikenali di benua Asia seterusnya ke peringkat antarabangsa dalam tempoh sepuluh tahun dari sekarang.

We are proud of you, our Dewi sister. Tahniah!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. 

Published by
FZ