Negara kita sekali lagi melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila rakyat dinasihatkan untuk duduk rumah selama 14 hari bermula 1 Jun lalu akibat kes positif COVID-19 yang meningkat secara mendadak.
Bagi individu yang bekerja, kebanyakan daripada mereka melakukan kerja dari rumah atau work from home (WFH) dan begitu juga para pelajar yang menjalani pembelajaran secara online.
Bila sudah ramai duduk di rumah dan boleh dikatakan sepanjang hari pula berada di rumah selama beberapa minggu, sudah tentu penggunaan elektrik naik mendadak lebih-lebih lagi jika menggunakan penghawa dingin di rumah.
Justeru itu, Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam kenyataannya di Harian Metro berkata, ketika tempoh sekatan pergerakan penuh di seluruh negara, pengguna mempunyai cara untuk memantau dan menguruskan pengunaan peralatan elektrik di rumah bagi mengurangkan pembaziran tenaga.
Bagi lebih 1.2 juta pelanggan TNB dengan pemasangan meter pintar, mereka boleh memanfaatkan data penggunaan elektrik harian menerusi aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan tenaga elektrik di rumah.
Ada beberapa amalan yang korang boleh buat untuk menjimatkan elektrik dan antaranya adalah seperti berikut:
• Menutup komputer selepas digunakan
• Berhenti mengecas komputer riba apabila kuasanya sudah penuh
• Pastikan semua pintu dan tingkap ditutup semasa menggunakan penghawa dingin
• Tetapkan penentu tempoh masa pada penghawa dingin bagi mengurus dan menjimatkan tenaga
• Cuci penapis penghawa dingin bagi mengoptimumkan proses penyejukan
• Gunakan cahaya semula jadi sebaik mungkin bagi mengurangkan kos pencahayaan
Walaupun nampak seperti perkara biasa, tetapi sebenarnya memang kita selalu lakukan di rumah betul tak?
Jadi, selepas ini cuba amalkan tip-tip yang telah diberikan oleh TNB ini dan sekiranya korang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang penggunaan elektrik dengan berjimat cermat boleh layari portal TNB di www.mytnb.com.my.
Stay home, stay safe!
Sumber: (1)