Tokyo 2020 Bakal Jadi Sukan Olimpik Paling Sunyi Tanpa Penonton

Share

Jepun mengesahkan penetapan peraturan tiada penonton di dalam kebanyakan arena sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia setelah negara matahari terbit itu memasuki darurat wabak kali keempatnya semasa temasya dunia itu berlangsung bermula 23 Julai ini. Tokyo 2020 sekaligus akan menjadi edisi Sukan Olimpik pertama dalam sejarah penganjuran modennya di mana penonton dihalang daripada menyaksikan acara serta memberikan sokongan.

Bagaimanapun, beberapa arena di luar Tokyo masih akan membenarkan kehadiran penonton hingga kapasiti 50 peratus. seperti Fukushima yang akan menganjurkan sukan bola lisut dan softball

, Miyagi (bola sepak) dan Shizuoka (berbasikal).
Sumber Foto : CNN International

Perkembangan mendukacitakan ini adalah satu lagi cabaran kepada Tokyo 2020 setelah beberapa isu timbul sebelum ini. Ini termasuklah penangguhan temasya dari tahun 2020 ke 2021 disebabkan pandemik COVID-19 dan perbelanjaan melebihi bajet oleh pihak penganjur.

Terdahulu pada bulan Jun, Jepun menetapkan peraturan hanya warganegara Jepun dan rakyat asing yang bermastautin di Jepun saja dibenarkan untuk mendapatkan tiket masuk. Setiap arena dihadkan kepada 10,000 orang penonton ataupun separuh daripada kapasiti penuh.

Namun dengan peningkatan kes COVID-19 tiga minggu sebelum ia bermula, kerajaan terpaksa mengambil keputusan mengadakan Olimpik kali ini secara tertutup. Walaupun Tokyo hanya merekodkan kira-kira 920 kes baharu harian, penganjur ingin mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir jumlah itu akan melonjak setelah Tokyo 2020 membuka tirai.

Sumber Foto : New In 24

ARTIKEL BERKAITAN : Belajar Dari Penyesalan, Lee Chong Wei Pesan – REMAJA

BACA LAGI : Atlet Malaysia Yang Layakkan Diri SEBULAN Sebelum Sukan Olimpik – REMAJA

Hhm, memang akan nampak peliklah semasa kita menonton atlet bertanding di stadium kosong nanti. Ini juga mungkin adalah temasya Olimpik paling sunyi dalam sejarah.

Buat masa ini, para atlet dan pegawai sukan dari 200 buah negara yang bertanding telah mula tiba ke Jepun, termasuklah Malaysia.

Skuad pelayaran negara menjadi kumpulan pertama kontinjen Malaysia ‘terbang’ ke Tokyo pada 8 Julai lalu dengan membawa 4 orang atlet dan 3 orang pegawai. Manakala, kumpulan kedua atlet dan pegawai dijangka berlepas ke Tokyo pada 17 Julai ini.

Published by
FZ