Tokyo Kini Lebih Panas Daripada Kuala Lumpur, Biar Betul?

Share

 

“Ye, memang panas baq hang dekat sini!”

 

Rakan kami yang sedang bercuti di sana juga mengalami keadaan cuaca panas melampau yang kini sedang melanda Jepun.

Negara matahari terbit itu sedang mengalami situasi heatwave atau kawasan tompok merah yang telah merebak teruk. Sehingga ke hari ini, bandaraya Tokyo saja sudah mencatatkan peningkatan suhu setinggi 41.1 darjah Celsius, jauh lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang mencatatkan purata suhu  32 darjah Celsius.

 

 

 

Isnin lalu, pihak berkuasa Jepun telahpun mengeluarkan amaran baru berkenaan heatwave ini ke peringkat nasional. Masakan tidak, dalam dua minggu pertama bulan Julai saja, sekurang-kurangnya 15 orang rakyat meninggal manakala lebih 12,000 orang dikuarantin di wad hospital akibat bencana ini.

Laporan CNN pula berkata angka maut tersebut mungkin telah mencecah 44 orang sejak 9 Julai lalu.

Teruk tu!

Untuk pengetahuan korang, purata suhu 41.1 darjah Celsius yang dicatatkan di Kumagaya, Saitama berhampiran Tokyo adalah 12 darjah lebih tinggi daripada suhu biasa di Jepun. Berpuluh-puluh bandar di Jepun juga dikatakan telah mencecah atau melebihi 40 darjah Celsius, menurut laporan agensi meteorologi Jepun.

 

 

Jika korang mempunyai perancangan untuk ke Jepun dalam masa terdekat ataupun korang mempunyai kenalan yang akan ke sana, langkah berjaga-jaga amatlah dituntut untuk mengelakkan strok haba. Tambahan pula, situasi cuaca melampau ini dilihat belum menunjukkan tanda-tanda bakal surut sehingga Ogos kelak.

Jika akan ke Jepun atau mempunyai kenalan di sana, korang dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup dalam bilik berhawa dingin di samping mengambil minuman secukupnya.

Published by
FZ