Perbincangan pembaharuan kontrak adalah berita yang sering dinanti-nantikan oleh peminat BLACKPINK.
ARTIKEL BERKAITAN: Spesies Bunga Yang Baru Ditemui Dinamakan Sempena Lisa BLACKPINK
Hal ini kerana, kontrak kumpulan K-Pop terhangat tersebut dengan label mereka YG Entertainment telah berakhir pada bulan Ogos dan sehingga kini belum ada berita rasmi sama ada BLACKPINK akan kekal dengan agensi itu pada masa hadapan atau tidak.
Lebih-lebih lagi, sepanjang tujuh tahun ini, kumpulan K-Pop itu telah membuktikan nilai mereka sebagai salah satu kumpulan K-pop terkemuka di dunia dengan memecahkan pelbagai rekod dalam industri seni.
Di tengah-tengah perbincangan itu, satu laporan baru mendakwa bahawa Lisa BLACKPINK telah menolak bukan satu tetapi dua tawaran untuk kekal dengan label itu.
Lisa, atau nama sebenarnya Lalisa Manobal, adalah seorang penyanyi rap kelahiran Thailand yang memulakan kerjaya muziknya bersama tiga rakan kumpulannya pada 2016.
Sehingga kini, dia kekal sebagai salah satu selebriti Korea Selatan yang paling banyak diikuti di Instagram dan turut diminati oleh peminat di seluruh pelosok dunia.
Baru-baru ini Lisa acap kali lebih menumpukan perhatiannya pada kerjaya individu dengan bergelar duta global pelbagai jenama mewah, termasuk CELINE, Bulgari dan banyak lagi.
Menurut laporan Star News, wanita berusia 26 tahun itu sedang berunding dengan agensinya YG Entertainment untuk kekal dengan label itu.
Penyanyi terkenal ini turut menerima beberapa tawaran daripada label syarikat rakaman di seluruh dunia yang bernilai puluhan juta dolar dek kerana popularitinya. Tawaran ini juga datang dari negara asalnya Thailand.
“Terdapat khabar angin yang mendakwa Lisa telah menerima tawaran daripada label di luar negara, termasuk Thailand, bernilai puluhan juta dolar,” komen Star News.
Saluran media itu juga mendakwa bahawa Lisa telah menolak dua tawaran kontrak daripada YG Entertainment.
“Terdapat juga khabar angin yang menyatakan bahawa Lisa telah menolak tawaran pertama YG dan baru-baru ini menolak tawaran kedua. Saiz kontrak dikhabarkan bernilai ₩50.0 bilion KRW (kira-kira $37.7 juta USD),” tambah mereka lagi.
Wow! Bak kata omputeh, “She is a woman who knows her worth!”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
IHSAN FOTO: Koreaboo, YG Entertainment