“Tolong Bawa Keluar, Saya Rela Jadi Hamba Tuan” Ungkapan Mangsa Gempa Undang Sebak Netizen

Share

Dunia baru-baru ini sekali lagi dikejutkan dengan bencana gempa bumi dahsyat yang berlaku di negara Turkiye dan Syria sehingga mengakibatkan ribuan mangsa terkorban yang semakin meningka sejak semalam, dalam tragedi tersebut.

Kita sedia maklum Syria antara negara yang sedang dalam situasi perang, pelarian dan pemberontakan sejak sekian lamanya. Bagai jatuh ditimpa tangga, negara berkenaan terutama rakyat, kini terpaksa hadapi pula bencana alam itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Gempa Bumi Di Turkiye & Syria, Seluruh Dunia Tampil Hulur Bantuan

Tular di Twitter semalam menerusi sebuah hantaran video yang dikongsikan oleh seorang wartawan Zuher Almosa, apabila ciapannya menceritakan detik-detik penyelamatan di bawah runtuhan.

Lebih meruntun hati warganet apabila ada seorang kanak-kanak perempuan merayu untuk dikeluarkan dari runtuhan dan merelakan diri untuk dijadikan hamba.

Menerusi video berkenaan, kanak-kanak yang berbaju biru itu cuba menenangkan adik perempuannya yang turut dalam kesempitan di celah runtuhan bangunan, selain mereka dilaporkan terperangkap berikutan bumbung rumah mereka runtuh.

“Tolong bawa saya dan adik keluar dari runtuhan ini tuan. Saya rela untuk menjadi hamba tuan,” katanya dalam video berdurasi 17 saat itu.

Ungkapan kanak-kanak itu benar-benar memberi tamparan kepada dunia bahawasanya kedua-dua mereka mungkin beranggapan runtuhan rumah itu berikutan serangan dan bukannya kerana gempa bumi.

Dalam hantaran sama, adik beradik itu kelihatan penat dan tidak bertenaga susulan terperangkap dipercayai tanpa makanan dan minuman sejak gempa menggegarkan pada Isnin.

Pemerhatian Remaja mendapati, rata-rata pengguna menyifatkan adik beradik itu adalah kanak-kanak yang kuat dan berani selain mendoakan yang baik-baik buat mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Twitter Zuher Almosa

Published by
Fath