Kesan pandemic COVID-19 bukan saja mengakibatkan ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan tetapi pengangguran juga berada di tahap tertinggi. Di media massa kita banyak membaca kisah individu yang terkesan akibat pendapatan berkurangan termasuk ada juruterbang yang berniaga bagi mencari sesuap rezeki halal.
Ternyata pandemik ini tidak mengira pangkat dan kedudukan. Terkini dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes menjual hartanahnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta pound (RM13.55 juta).
Memetik laporan Berita Harian, hartanah itu menempatkan rumah agamnya di kawasan seluas 50.6 hektar.
Penjualan hartanah itu dipercayai untuk menyelamatkan empayar perniagaannya yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Tony, 56, yang juga pengerusi Queens Park Rangers pernah bermastautin di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun.
Hartanah lima bilik itu dilengkapi bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.
Tony memiliki QPR untuk dua tempoh berbeza dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Sumber : Berita Harian. Gambar : Savills
Cipta Sejarah, Ana Victoria Espino Peguam Sindrom Down Pertama Di Dunia
Tidak ada yang mustahil apabila impian seorang gadis down sindrom akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya menjadi peguam pertama di dunia yang mempunyai Sindrom Down.
ARTIKEL BERKAITAN : Rawan Dweik, Gadis Sindrom Down Pertama Menghafaz Seluruh Al-Quran
Wanita berusia 25 tahun bernama Ana Victoria Espino de Santiago ini berjaya memperoleh ijazah undang-undang dari Universidad Autónoma de Zacatecas selepas menamatkan pengajian selama lima tahun.
Dengan semangat yang tinggi dan dorongan kuat, Espino berjaya mengatasi pelbagai halangan dalam sistem pendidikan yang tidak direka untuk individu berkeperluan khas.
Tiada Peperiksaan Kelayakan Peguam di Mexico
Di Mexico, berbeza dengan Amerika Syarikat dan negara lain, tiada peperiksaan kelayakan peguam. Sebaliknya, memiliki ijazah undang-undang sudah mencukupi untuk menjadi peguam, lapor My Modern Met.
Namun, meski memiliki ijazah undang-undang, Espino sebenarnya lebih berminat dalam bidang politik daripada mempertahankan hak di mahkamah.
Impian Menjadi Wakil Rakyat untuk Membantu Golongan Kurang Upaya
Matlamat utamanya adalah untuk menjadi wakil rakyat dan menggunakan pengetahuannya dalam bidang undang-undang untuk memperbaiki keadaan hidup golongan kurang upaya.
Menggenggam segulung ijazah bukanlah tugas yang mudah, tetapi dia dikelilingi oleh keluarga dan individu yang mempercayai keupayaannya.
Cabaran dan Halangan Kemasukan ke Universiti
Selepas tamat sekolah menengah, Espino memohon kemasukan ke universiti dan berjaya lulus dalam peperiksaan kemasukan. Malangnya, rektor universiti ketika itu memaklumkan bahawa dia tidak boleh diterima masuk kerana universiti tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk pelajar dengan Sindrom Down.
Walau bagaimanapun, berkat semangatnya yang tidak pernah luntur, seorang pensyarah tampil untuk membantunya.
Lima Tahun Pembelajaran di Universiti
Sepanjang lima tahun di universiti, pensyarah tersebut menemani Espino ke semua kelasnya, membantunya belajar dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.
“Saya sangat menyukai undang-undang kerana ia membolehkan saya mempertahankan hak golongan kurang upaya dan hak asasi manusia serta mempertahankan hak saya sendiri,” ujarnya kepada NTR TV.
Espino turut menyeru para pendidik agar sentiasa menyokong, mendengarkan dan memberikan bantuan tambahan kepada pelajar jika diperlukan. “Guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih inklusif,” tambahnya.
Kerjaya Sebagai Pejuang Hak Golongan Kurang Upaya
Kerjaya Espino sebagai pejuang hak golongan kurang upaya sebenarnya bermula sebelum dia mengejar ijazah undang-undangnya. Pengalaman pertamanya dalam bidang undang-undang berlaku di forum-forum perundangan, di mana dia berkongsi kisahnya untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan hidup golongan kurang upaya.
Selain undang-undang, Espino juga seorang seniman berbakat, yang telah mengadakan beberapa pameran seni, termasuk di lobi Kongres Kesatuan di Mexico City.
Visi Masa Depan: Wakil Rakyat Tempatan
Berbicara mengenai masa depannya, Espino menjelaskan tentang visi dan hasrat yang ingin dicapainya. “Saya melihat diri saya sebagai seorang wakil rakyat tempatan. Saya sangat berminat dengan undang-undang, dan saya mahu membuka jalan supaya semua individu yang hidup dengan kecacatan boleh menduduki ruang-ruang penggubalan keputusan.”
Dia menegaskan bahawa keadaan mereka tidak menghalang suara, kehendak, dan keupayaan untuk menyumbang kepada peningkatan negeri.
*Espino membuktikan walaupun menghidap Sindrom Down, dengan semangat juang yang tinggi dia berjaya memperoleh ijazah undang-undang walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam sistem pendidikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Sumber: My Modern Met
Diuji Ibu Bapa Sakit Disaat Akhir Pengajian, Gadis Ini Akhirnya Berjaya Peroleh Segulung Ijazah
Berat ujian bagi seorang gadis ini yang juga penuntut di salah sebuah universiti terkenal Malaysia, tatkala diuji dengan kedua orang tua yang sakit disaat-saat akhir pengajiannya. Tidak dapat melawan takdir, wanita ini yang lebih dikenali sebagai Diana, berkongsi terpaksa ‘extend’ projek akhir apabila keadaan kesihatan bapa tercintanya semakin merosot.
Menurut graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, dugaan hidupnya bermula apabila bapanya terpaksa menjalani pembedahan memotong tiga jari kaki dan dimasukkan ke Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) selama tiga bulan.
“Mulanya dengan abah perlu membuat pembedahan memotong tiga jari. Masa ini masih kuat semangat nak habiskan degree (sarjana muda) yang hanya berbaki tesis, latihan industri dan selepas itu sudah boleh konvokesyen.
“Selepas itu, abah ditukarkan ke CVSKL. Abah kuat semangat. Tidak pernah tunjuk yang abah sedih. Tetapi keadaan abah makin kritikal, ia semakin merebak sehingga perlu pembedahan potong kaki sampai ke paras bawah lutut. Malah, oksigen abah pun semakin menurun.
“Masa ini ‘down’ sangat. Tida dapat fokus menulis. Rasa semangat itu separuh dibawa pergi. Saya hubungi penyelia tesis meminta kata-kata semangat. Masa hubungi doktor (pensyarah) pun tidak mampu menahan air mata,” coretnya pada satu hantaran di aplikasi TikTok miliknya.
Sehubungan itu, dia mula menghubungi penyelia yang juga pensyarahnya bagi mendapatkan nasihat berhubungi dengan Penulisan Ilmiah Tahun Akhir (tesis).
“Akhirnya saya membuat keputusan untuk extend juga kerana niat mahu fokus menjaga abah memandangkan semasa itu mak pun tidak berapa sihat kerana sudah ada simptom buah pinggang.
“Alhamdulillah, dapat penyelia yang sangat memahami dan sentiasa beri kata-kata semangat. Selama lapan bulan abah di hospoital. Dari bulan lima hingga bulan enam. Alhamdulillah, abah boleh pulang ke rumah,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Genggam Skrol Walaupun Hidap Tiga Kanser, Belajar Sambil Kerja cari Duit Rawatan
Ujiannya bukan terhenti di situ, gadis ini terus diduga apabila tahap kesihatan ibunya merosot ekoran penyakit buah pinggang. Malah, tahap kesihatan bapanya juga semakin menurun sehingga dia terpaksa bergegas pulang ke Ipoh, Perak, sejurus sahaja menamatkan latihan industri.
Hasil berkat dan doa kedua-dua ibu bapanya, kini Diana berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi dan mengenggam segulung ijazah pada konvokesyen UKM, baru-baru ini.
Menerusi hantaran video tersebut, kelihatan gadis ini serba cantik dan ayu mengenakan jubah konvokesyen berwarna hijau, selepas diduga pelbagai bentuk ujian sepanjang dia bergelar mahasiswa.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: TikTok Sharifah Nur Diana
Gara-gara Cendawan, 9 Sekeluarga Nyaris Maut. Kenali 5 Jenis Cendawan Liar Beracun
Malang tidak berbau, siapa sangka cendawan liar yang dikutip di kebun belakang rumah punca satu keluarga nyaris maut dan terpaksa masuk hospital.
Menurut laporan Sinar Harian, suri rumah itu hanya mampu melihat tujuh anaknya rebah seorang demi seorang dalam keadaan mulut berbuih dan berdarah kurang sejam selepas menikmati sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun dalam kejadian pada Isnin minggu lalu di kediamannya mereka di Kampung Nyiur di sini.
“Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena. Terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut. Rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah suami, Muhammad Nurhadi, 36.
“Dalam keadaan tidak bermaya, kami hanya mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek. Ada yang mulut berbuih dan keluar darah. Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu,” katanya.
Difahamkan, lauk cendawan beracun itu dijamah oleh mereka sekeluarga kecuali anak bongsu berusia setahun sebulan.
Hmm..bahayanya cendawan liar ni kerana fizikal tumbuhan ini kelihatan sama. Jadi, ini REMAJA kongsikan 5 jenis cendawan yang tidak boleh dimakan dan beracun.
Cendawan Amanita Bisporigera
Amanita bisporigera adalah spesies cendawan beracun yang berbahaya dalam keluarga Amanitaceae. Ia biasanya dikenali sebagai cendawan ‘Eastern North American Destroying Angel’ atau cendawan malaikat pemusnah.
Cendawan ini mempunyai payung putih halus yang dapat mencapai hingga 10 centimeter dan panjangnya sehingga 14 sentimeter. Jenis cendawan ini mempunyai dua spora dalam satu induk.
Cendawan Pholiotina Rugosa
Pholiotina rugosa adalah cendawan rumput biasa yang tumbuh secara meluas dan sangat biasa dijumpai di kawasan Barat Laut Pasifik. Jenis cendawan ini juga telah dijumpai di Eropah, Asia dan Amerika Utara.
Ia mengandungi mikotoksin yang boleh membawa kepada kematian. Awas, jenis cendawan ini tidak boleh dimakan.
Cendawan Sulfur Tuft
Cendawan sulfur tuft atau clustered woodlover adalah jenis cendawan hutan yang biasa dan sering kali dijumpai ketika hampir tidak ada cendawan lain. Cendawan ini tumbuh secara besar-besaran dalam gumpalan besar pada tunggul, akar mati atau batang pokok yang lebar.
Cendawan Sulfur tuft amat pahit dan merupakan cendawan yang beracun. Jika memakannya, ianya boleh menyebabkan muntah, cirit-birit dan sawan.
Toksin utama di dalam jenis cendawan ini adalah steroid yang dikenali sebagai steroid fasciculol E. Jangan sesekali makan cendawan jenis ini.
Cendawan Galerina Sulciceps
Spesies cendawan yang sangat berbahaya dan tidak boleh dimakan juga adalah Galerina sulciceps. Ia hidup di wilayah tropika Indonesia dan India, namun kadang-kadang dilaporkan membiak di Eropah.
Jenis cendawan ini mengandungi lebih banyak toksik daripada deathcap (Amanita phalloides). Cendawan ini terbukti mengandungi toksin alpha- (α-), beta- (β-) dan gamma- (γ-) amanitin. Satu kes pernah dilaporkan di Indonesia pada tahun 1930-an yang mengakibatkan 14 kematian akibat pengambilan jenis cendawan ini.
Cendawan Galerina Marginata
Galerina marginata adalah jenis cendawan yang beracun dalam keluarga Hymenogastraceae dari Agaricales. Sudah tentu tidak boleh dimakan. Cendawan ini mempunyai payung coklat hingga kuning coklat yang pudar ketika musim kering.
Insang cendawan ini berwarna kecoklatan dan memberikan cetakan spora yang berkarat. Cincin membran yang jelas kelihatan pada batang spesimen muda jenis cendawan ini akan hilang seiring bertambahnya usianya.
Moga perkongsian ini bermanfaat kepada semua, pengajarannya kenalpasti cendawan liar sebelum memetik dan dimakan. Dan get well soon buat ahli keluarga ini!
Sumber: Sinar Harian, Bidadari