Lumrahlah, bila kita menempah tiket penerbangan kelas ekonomi, tak semua syarikat penerbangan akan menyediakan perkhidmatan yang – hhm – menarik.
Isu ruang kaki tempat duduk yang sempit, tiada hiburan dan layanan kru penerbangan yang seakan-akan nak tak nak je melayan itu merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh penumpang kelas ekonomi.
Tapi jangan kita lupa pula faktor makanan yang disediakan.
Kalau penerbangan destinasi dekat, tak apalah kalau setakat dihidang dengan kacang atau puding.
Tapi bagaimana pula dengan penerbangan jauh yang memakan masa 4 ke 5 jam? Tak ke rentan makcik sebelah bila anak dia lapar?
Semalam, Skytrax World Airline Awards 2017 – persis anugerah Oscars untuk industri penerbangan dunia – telah menyenaraikan 10 syarikat penerbangan yang menyediakan hidangan kelas ekonomi terbaik sepanjang tahun lepas.
Hhm, agak-agak syarikat penerbangan Malaysia tersenarai atau tak?
EVA Air
Setiap bulan, Eva Air dari Taiwan akan mengubah jenis hidangan penumpang kelas ekonomi; seperti coklat, fruit pound cake dan kotak set makanan popular dari Perancis, PAUL!
Lufthansa
Syarikat penerbangan terbesar dari Jermanini sediakan 3 pilihan main course, salad, pencuci mulut dan minuman panas. Untuk penerbangan antarabangsa terpilih, penumpang akan ditawarkan jenis makanan dari negara yang bakal dilawati mereka. Kalau pergi Malaysia, boleh dapat nasi lemak tak? Hehe..
Cathay Pacific
Syarikat penerbangan Hong Kong ini pernah dinamakan syarikat penerbangan terbaik dunia untuk beberapa kali. Untuk kelas ekonomi, korang akan mendapat starter, main course antarabangsa atau lokal, dessert dan minuman panas. Bagi yang sedang berdiet, korang boleh request pilihan vegetarian atau kurang garam.
Austrian Airlines
Ia merupakan antara syarikat penerbangan pilihan penumpang bukan Muslim kerana mereka menawarkan hidangan bir dan wain tanpa mengira jarak destinasi. Bagi penerbangan jauh, penumpang boleh memilih hidangan a la carte
seperti menu Japanese dan Tapas semasa menempah tiket.
Singapore Airlines
Kelas! Daripada pengalaman kami sendiri, makanan Singapore Airlines tak pernah tak sedap, malah konsepnya berbagai-bagai. Contohnya, hidangan yang membantu ibu yang sedang berpantang (wow), makanan kanak-kanak, makanan vegetarian Indian, seafood dan rendah lemak
Japan Airlines
Hidangan kelas ekonomi Japan Airlines direka khas oleh enam chef yang menyertai pertandingan realiti kulinari Jepun, RED U-35. Japan Airlines juga bekerjasama dengan restoran popular Jepun untuk memberi pilihan baru kepada penumpang, seperti sup cendawan goreng, bento dan stik Hamburg dengan fettuccine.
Kalau nak snek, boleh ambil dekat corner. Self-service gituu.
Qatar Airways
Bukan je hidangan oleh Qatar Airways sedap malah dipersembahkan dengan cukup baik. Perkakas seperti dulang, cawan dan kotak makanan diperbuat daripada bahan kitar semula.
Dari segi makanan pula, mereka sediakan salad dan kuah tradisional seperti Hummus. Kemudian, korang boleh pilih daripada 3 main course. Antaranya termasuklah Indian Pakora dan kari ayam Malaysia.
Asiana Airlines
Berasal dari Korea Selatan, penumpang kelas ekonomi tak akan kecewa dengan hidangan autentik Korea! Mereka boleh memilih Yeongyang Ssambap, sayuran khas yang dicampur kacang dan sos, Podubu Bossam, tofu dan macam-macam lagi.
Turkish Airlines
Hidangannya memang pergh superb. Untuk destinasi dekat, penumpang diberi sandwic, starter dan dessert. Manakala untuk destinasi jauh, kesemua hidangan dihidangkan menggunakan bahan segar. Mereka juga menawarkan sarapan dan snek mengikut masa penerbangan.
Thai Airways
Thai Airways tak pernah gagal untuk tersenarai dalam carta Skytrax ini. Hidangan kelas ekonomi diilhamkan daripada perisa dan rasa makanan Thai. Ia juga menggunakan bahan segar dan mempunyai pelbagai pilihan seperti roti, salad, buah-buahan dan dessert.
Apa yang membuatkan Thai Airways terbaik adalah kerana mereka menyokong sumber bahan dari petani Thai. Sekaligus, menyediakan rezeki kepada mereka.