‘Topi Kanak-Kanak & Kesan Luka Merah’, Mendalamnya Makna Gaun AJL Aina Abdul

Share

 

Setiap kali penyanyi dan komposer berbakat ini naik ke pentas untuk menjayakan sesebuah persembahan, jarang sekali dia gagal untuk membawakan sesuatu yang baharu untuk tatapan umum.

 

Aina Abdul nyata ialah seorang artis yang mementingkan originaliti dan makna mendalam dalam setiap apa yang dilakukannya.

Sama ada dala bait-bait lagu ciptaannya, klip videonya hinggalah ke busana yang disarungnya. Segalanya difikirkan dengan teliti dan terperinci.

ARTIKEL BERKAITAN“Kak Aina Ada Mesej..” Raysha Rizrose Tiada Masalah Cover Lagu AJL35 – REMAJA

Semalam (pun intended) di Anugerah Juara Lagu 35, Aina kembali mencuri tumpuan dengan busana avant-garde serba hitam ciptaan pereka duo muda, Wan & Mary ketika membawakan lagu Semalam.

Dalam perbualan bersama REMAJA, pereka Wan & Mary iaitu Hazzerwan Lee berkata, Aina seboleh mungkin ingin menerapkan maksud di sebalik lirik lagu Semalam dalam penataannya.

“Tahun lalu, Aina dan penata gaya NazLivingStyle baru pertama kali menjejakkan kaki ke AJL dan tidak tahu berkenaan syarat-syarat persembahan yang ditetapkan saluran. Kami kurang jelas berkenaan elemen darah yang tidak dibenarkan.”

ARTIKEL BERKAITANKebetulan Sama Atau Tak, ‘Baju Berdarah’ Aina Abdul Dikaitkan Dengan Lady Gaga – REMAJA

“Tahun ini, kami elakkan kontroversi namun masih tampil epik serta memberi impak.”

“Idea pakaian yang lebih feminin ini hadir dari Aina sendiri atas permintaan ibunya. Mereka pernah bercuti ke Vietnam dan menyukai pakaian tradisi wanita di sana. Sebab itulah kami mencedok ilham daripada pakaian tradisonal Vietnam ‘Ao Dai’.

“Alhamdulillah proses penyediaan busana kali ini hanya memakan masa dua minggu saja,” jelasnya ketika dihubungi penulis.

 

Interpretasi Lirik Pada Busana

Sekiranya ada sesetengah warganet yang menyamakan aksesori topinya dengan topi kanak-kanak, korang sebenarnya tidak salah.

Sumber Foto: Instagram @ahma_dani

Aksesori kepala itu diilhamkan daripada figura seorang bayi yang ‘ada’ bersama-sama Aina. Lirik “Tinggalku sendiri, ditemani jasad ini..” merujuk kepada bayi atau kanak-kanak kecil itu.

Kata Hazzerwan, aksesori topi ini adalah atas permintaan Aina sendiri dan mereka memberikan statement dengan menjadikan saiznya besar daripada kebiasaan. Lagipun, aksesori topi dempak seperti ini sedang menguasai trend di pentas runway.

Berikut merupakan beberapa lagi intepretasi yang diambil daripada busana Aina semalam.

 

01

Perincian pleats pada jaket diispirasikan daripada daun pohon palma yang dikaitkan dengan lirik “diri ini bagai daun gugur.”

Sumber Foto: Instagram @ainaabdul.

 

02

Warna hitam melambangkan daun yang sudah layu dan keadaan serba gelap pada waktu malam. Manakala warna merah pada bahagian belakang busana melambangkan kesan luka emosi yang dirasakan oleh wanita.

Bezanya dengan kesan darah mengalir dalam persembahan AJL34 Aina, kali ini warna merah dijadikan sebagai efek potongan dan corak gaun.

Kongsi Hazzerwan, ‘kejutan’ corak berwarna merah itu hanya ditonjolkan pada bahagian klimaks persembahan. Ibaratnya, Aina ingin meletakkan kisah pahit ‘semalam’ (merujuk kepada persembahan Sumpah tahun lalu) sebagai kisah silam.

 

03

Aina seperti berdiri di atas potongan gaun bulat. Bulatan tersebut membawa maksud daun yang terapung. Teringat pula kepada daun lotus yang sinonim dengan unsur kebudayaan Asia.

04

Fabrik gaun kelihatan fragile dan ia melambangkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh.

 

05

Pastinya, kita semua tak boleh lupakan elemen payung terjun gergasi yang menjadi latar kepada persembahan Aina semalam.

Di atasnya, terdapat corak ungu yang dipancarkan ke atas fabrik tersebut. Ia lambang kepada lirik, “calar ungu” yakni kesan lebam yang dirasakan oleh wanita yang menderita
itu.

*

*

Segalanya difikirkan penuh terperinci oleh penyanyi berusia 27 tahun ini bersama-sama skuad glamnya.

“Tahniah sekali lagi kepada Aina Abdul yang berjaya membawa pulang posisi kedua terbaik menerusi lagu Semalam. Dari skuad glam, kami bersyukur dan berterima kasih kepada saluran TV3 yang memberikan kuasa kepada penyanyi untuk menetapkan konsep persembahan pada tahun ini.

“InsyaAllah, akan ada lagi kolaborasi di antara Aina Abdul dan Wan & Mary pada masa akan datang,” tuntas Hazzerwan.

BACA LAGI7 Lagu Cover Dari Aina Abdul, Mana Satu Paling Power? – REMAJA

Published by
FZ