Bagi yang biasa menunaikan ibadah umrah sebelum ini, tentu tahu antara syarat wajib yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, mana-mana gadis atau wanita bujang perlu membawa mahram bersama ketika menunaikan ibadah umrah.
Namun kalau usia wanita sudah mencapai 45 tahun atau lebih, mereka tidak memerlukan mahram lagi sebaliknya boleh melakukan ibadah ini dengan mengikut mana-mana agensi pelancongan bertauliah.
Bagi gadis atau wanita yang mempunyai mahram tentu tidak sukar membawa sekali namun bagi yang tiada mahram niat untuk melakukan ibadah umrah sudah pasti terbantut. Kita mungkin mempunyai duit namun mahram mungkin belum cukup duit, boleh menjadi sebab ibadah umrah tertangguh.
Namun bermula 27 September lalu, visa pelancong atau disebut Tourist Visa yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi buat pertama kalinya kepada dunia membolehkan mana-mana wanita bujang menunaikan umrah tanpa mahram selain melakukan aktiviti pelancongan di negara terbabit.
Dalam laporan Bernama sebelum ini, Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) mengumumkan buat pertama kali, kerajaan melancarkan visa pelancongan yang akan dikeluarkan melalui Konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia. Selain pergi ke kedutaan, permohonan visa pelancong juga boleh dibuat melalui atas talian dengan hanya perlu membayar 300 Saudi Riyal atau RM335.68 sahaja untuk tempoh penggunaan setahun bagi visa tersebut.
Dengan pengumuman itu, rakyat dari 49 negara di seluruh dunia termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Denmark, Itali, Jerman, Singapura, Brunei dan Malaysia layak memohon visa pelancong secara dalam talian.
Langkah itu adalah satu daripada agenda utama program reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai persediaan untuk ekonomi terbesar rantau Arab itu berdepan zaman selepas era minyak dan menarik syarikat asing untuk melabur dalam sektor berkenaan yang diharapkan dapat menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Hokay, ini peluang baik kepada mana-mana gadis atau wanita yang ingin menunaikan umrah namun bermasalah dengan mahram kerana dengan Tousist Visa itu membolehkan kita menunaikan umrah dan kemudian meneruskan perjalanan pelancongan khususnya melawat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO. Malah ada banyak lagi kebudayaan tempatan selain pemandangan semula jadi yang cukup indah yang tidak pernah dibuka sebelum ini.
Dalam menarik lebih ramai pelancong,kerajaan Arab Saudi turut melonggarkan kod berpakaian bagi wanita asing, membenarkan mereka keluar tanpa memakai abaya yang masih menjadi mandatori kepada wanita tempatan. Bagaimanapun, wanita asing perlu mengenakan pakaian sopan.
Tak perlu tunjuk sijil nikah untuk tinggal sebilik di Arab Saudi
Arab Saudi membenarkan lelaki dan wanita warga asing menyewa bilik hotel bersama tanpa membuktikan mereka mempunyai hubungan, selepas pentadbiran diraja konservatif itu melancarkan pelaksanaan visa baharu untuk menarik pelancong.
Wanita termasuk warga tempatan, juga dibenarkan menyewa bilik hotel bersendirian, dalam perubahan terhadap peraturan sebelumnya.
Tindakan itu jelas memberi laluan kepada wanita yang tidak ditemani untuk melancong lebih mudah dan bagi pelawat asing tidak berkahwin untuk tinggal bersama di negara Teluk itu, seperti dilaporkan oleh Berita Harian semalam.
Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi mengesahkan dalam satu laporan kelmarin oleh akhbar bahasa Arab, Okaz sambil menambah: “Semua rakyat Arab Saudi diminta menunjukkan kad pengenalan keluarga atau bukti hubungan jika mendaftar masuk hotel.
“Perkara ini tidak disyaratkan kepada pelancong asing. Semua wanita termasuk rakyat Arab Saudi boleh menempah dan tinggal di hotel bersendirian, namun perlu menunjukkan kad pengenalan ketika mendaftar masuk.”
Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong asing dari 49 negara minggu lalu ketika ia cuba menumbuhkan sektor berkenaan dan mempelbagaikan ekonominya selain eksport minyak.
Sebagai sebahagian langkah itu, ia mengeluarkan arahan bahawa pelancong tidak perlu memakai jubah hitam keseluruhannya namun sopan. Alkohol masih dilarang. -Reuters