Peserta dari Sabah, Tracie Sinidol telah mengenepikan 15 lagi finalis lain sekaligus dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2022.
Menerusi kemenangan ini, Tracie Sinidol, 21 tahun, telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi.
Tempat kedua dimenangi oleh Bee Aishah, manakala tempat ketiga pula menjadi milik Kimberly Chua. Akhir sekali Alyssa Azmi pula berpuas hati di tempat keempat. Empat lagi peserta yang turut bertanding pada pentas akhir Dewi Remaja 2022 malam ini ialah Auni, Rashika, Zafira, Hyele, Dina dan Janani.
Sementara itu, Keeran telah dipilih sebagai Dewi Inspirasi, manakala Tracie membawa pulang kategori Dewi Favourite bagi edisi kali ini.
Pada malam kemuncak, sepuluh orang peserta telah diberi kata kunci berasingan untuk mereka masing-masing huraikan dalam tempoh 30 saat.
Selepas pusingan tersebut, empat orang peserta telahpun membolosi pusingan kedua bagi segmen soal jawab bersama panel juri.
Kesemua peserta diadili barisan juri yang terdiri daripada Datuk Aznil Hj. Nawawi, Naib Juara Dewi Remaja 2009/2010, Izara Aishah dan finalis Dewi Remaja 1990/1991, Didie Alias.
Pencarian Dewi Remaja Edisi 2022 bermula sejak sesi uji bakat pada bulan Mac 2022 dan seramai 16 orang gadis telah dipilih sebagai peserta bagi musim ke-12.
Peserta lain yang turut terpilih bagi musim kali ini ialah Reezly Shafeera, Fifi Filan Tisya, Melissa Aurelia, Eiman Wan Zul, Milleh Christian Anderson dan Keeran Praval.
Pelbagai cabaran telah diberikan kepada finalis untuk mengasah kemampuan setiap seorang daripada pelbagai aspek berbeza sepanjang tujuh minggu ia ditayangkan di saluran Astro Ria dan aplikasi Astro Go.
Pencarian Dewi Remaja 2022 telah disokong dengan kehadiran penaja bersama, Kinohimitsu Malaysia dan WonderDewi by WonderLab.
Pentas akhir Dewi Remaja 2022 anjuran Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro ini telah dihoskan oleh Fikry Ibrahim.