Tradisi Diangkat Tinggi, Permaisuri Johor Anggun Berbaju Kurung ‘Istimewa’ Ketika Lawatan Ke Singapura

Share

Baju kurung sudah menjadi warisan turun temurun negara. Tidak kira warna kulit, bangsa dan agama, segenap lapisan masyarakat telah diperkenalkan dengan baju kurung sebagai baju kebangsaan bagi kaum hawa. Rekaannya yang dibuat penuh makna memberi keselesaan kepada yang memakai sekaligus melambangkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Juara Kejohanan Badminton Dutch International 2022, Myisha Khairul Terima RM10 Ribu Daripada Kerajaan Negeri Johor

Baru-baru ini, Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah tampil anggun dengan mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Johor ketika mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena lawatan rasmi ke Singapura.

Menariknya Baju Kurung Johor yang digayakan oleh Baginda memiliki maksud istimewa dan penuh makna tersirat. Pada hari pertama lawatan, Baginda berkenan untuk memakai Baju Kurung Johor berwarna merah putih yang menjadi tema warna bendera Singapura. Fabrik busana tersebut telah ditenun kainnya oleh Yayasan Warisan Johor.

Melengkapkan lagi penampilan, Tuanku Raja Zarith Sofiah turut mengenakan loket khas berbentuk bunga orkid Vanda Miss Joaquim yang merupakan bunga kebangsaan Singapura bersama dengan kerongsang yang dihadiahkan kepada Baginda oleh DYMM Sultan Johor.

Kerongsang tersebut berupa sebuah rekaan berasaskan Diadem DiRaja, bulan sabit, dan tujuh bintang sebagai lambang kepercayaan Islam serta kedudukan baginda selaku Permaisuri.

Bagi sesi lawatan kedua pula, Baginda berkenan mengenakan baju kurung batik rona bendera Johor. Corak baju kurung tersebut menampilkan motif rekaan bunga gambir dan lada hitam Johor bersama bunga orkid Vanda Miss Joaquim Singapura, sebagai lambang hubungan rapat antara Johor dan Singapura.

Penampilan Tuanku Zarith Sofiah yang anggun patut dicontohi kaum hawa di Malaysia dalam mengangkat tinggi busana tradisi.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber & Kredit Foto: Facebook The Royal Johor

Published by
Fiezreen