Tragedi Tanah Runtuh, Menteri KPKT Gesa Semua Pengusaha Tanpa Lesen Henti Segera Sebelum Tindakan Diambil

Share

Negara hari ini dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya yang melibatkan seramai 94 orang pengunjung, pada jam 2 pagi tadi.

Menurut laporan Utusan Malaysia, tiga tapak perkemahan yang terlibat dalam tragedi berkenaan pada hari ini, yang diusahakan sebuah syarikat disahkan beroperasi tanpa lesen sejak tahun 2020.

Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, ketiga-tiga tapak berkenaan sebaliknya hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), pada tahun 2019.

Tambahnya lagi, selain, fokus utama pada masa ini memastikan dapat menyelamatkan sebanyak mana nyawa yang boleh, beliau juga menasihati buat semua pengusaha di luar sana agar mendapatkan nasihat daripada jabatan tertentu sebelum membuka tapak perkhemahan.

“Mereka ada kebenaran merancang untuk membangunkan kebun organik bukan tapak perkemahan.

“Saya nasihatkan kepada semua pengusaha adalah perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum membuka tapak perkemahan di kawasan berisiko tinggi.

“Selain itu, ada lagi 17 hilang dan tidak dapat dikesan, operasi ini akan diteruskan sampai kita jumpa mangsa yang tertimbus dan berharap mereka selamat. Bagi pihak kerajaan saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terkorban,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa mana-mana pengusaha tapak perkemahan di seluruh negara yang menjalankan operasi tanpa lesen yang sah berhenti segera sebelum tindakan tegas diambil.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga berkongsi bahawa Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat prihatin dengan tragedi tanah runtuh ini dan memaklumkan akan ke tapak kejadian selepas Isyak.

Sebagai peringatan, sebaiknya pilihlah lokasi percutian yang selamat. Elakkan bercuti di kawasan yang terdedah pada lereng bukit, tepi sungai, pantai mahupun kawasan rendah yang mudah dinaiki air. Lebih selamat, beristirehat sahaja bersama keluarga di rumah sewaktu musim taburan hujan padat, pada waktu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 94 Orang Terlibat, 9 Disahkan Meninggal Dunia. Tanah Runtuh Tapak Perkhemahan Batang Kali

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Twitter Nadma Malaysia& Instagram Nga Kor Ming

Published by
Fath