“Trailer Ini Kurang Sesuai Ditayangkan, Namun…” Ini Jawapan Fahmi Fadzil Mengenai Filem Sensasi ‘Pulau’

Share

Belum pun ditayangkan di pawagam, filem Pulau menerima pelbagai kritikan dan kecaman hebat warganet susulan trailer yang dilancarkan baru-baru ini, memperlihatkan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai untuk tontonan umum.

Susulan daripada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengakui, trailer filem yang sedang hangat diperkatakan di serata media sosial itu kurang sesuai untuk tayangan umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Respon Campur-Baur Lepas Teaser ‘Pulau’ Keluar, Ada Warganet Teruja Lihat Filem Tempatan Kini Lebih Terbuka

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan akhir berhubungan penayangan filem berkenaan diputuskan oleh Lapisan Penapis Filem (LPF).

“Tadi saya ditanya oleh wartawan berkenaan trailer filem Pulau. Pandangan saya, trailer ini kurang sesuai ditayangkan.

“Namun, keputusan akhir terletak di tangan LPF,” ciapnya ringkas menerusi Twitter miliknya.

Pun begitu, ciapan berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet, termasuk ada yang meminta Fahmi tidak mengambil pendekatan bersifat konservatif melibatkan industri kreatif.

“Berhenti mencuba untuk memuaskan hati mereka yang tidak membuang undi untuk anda.

“Kita undi Pakatan Harapan (PH) untuk jadi lagi konservatif berbanding Pas. Baik undi Pas kalau anda bertindak sama dan kowtow (terlalu menunduk) bila berkuasa,” demikian antara luahan yang disuarakan pengguna Twitter terhadap kenyataannya.

Sekadar informasi, Pulau terbitan WebTVAsid dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio arahan Euno itu menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Vi dan Vikar.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath