Tregedi Lambat Tak Berulang, Ziyad Zolkefli Buktikan Mampu Saingi ‘Atlet Normal’

Share

 

Pendekatan jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk tiba awal di Stadium Nasional My Dinh sewaktu menyertai acaranya di Sukan SEA Vietnam 2022 semalam telah menjadi salah satu faktor pemangkin semangatnya untuk berjaya menaiki podium.

Ketibaan sekitar tiga ke empat jam lebih awal di stadium adalah demi tidak mengulangi tragedi ketibaan lewat yang pernah menghantui Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada tahun lalu sehingga meragut pingat emas yang terlebih dahulu telahpun dimenangi.

ARTIKEL BERKAITAN : Salah Siapa Ziyad Zolkefli Lewat Tiga Minit?

“Saya bimbang juga sekiranya terjadi lagi peristiwa dulu sewaktu di Paralimpik Tokyo 2020. Jadi, saya mengambil pendekatan selamat dan mahu lebih berhati-hati kali ini,” katanya kepada rakan media Malaysia di sana.

Tambahnya lagi, isu pengangkutan dan keadaan trafik di Hanoi yang agak sesak juga dikhuatiri Ziyad kali ini.

“Apa yang terjadi di Tokyo menjadi pengajaran kepada saya, hari ini saya dah buktikan kepada negara,” katanya lagi.

Hasilnya, Ziyad menjadi satu-satunya atlet kem olahraga negara ke Sukan SEA ke-31 yang berjaya menghadiahkan pingat dari acara trek dan padang.

Dengan lontaran sejauh 17.20 m (hanya kurang 0.09m berbanding rekod 17.29m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London); Ziyad mengesahkan pingat gangsa menjadi miliknya di belakang pemenang pingat emas dari Filipina; William Morrison III (18.14m) dan pemenang pingat perak, Jakkapat Noisri (17.32m) dari Thailand.

Seorang lagi wakil Malaysia, Farm Loong Deng menamatkan saingan di tempat keenam dengan lontaran sejauh 16.62m.

Ini bukanlah kali pertama Ziyad menyertai Sukan SEA dalam kategori ‘atlet normal’. Beliau mula menyertai temasya Sukan SEA pada 2017 di Kuala Lumpur dan berjaya meraih pingat gangsa. Warna pingatnya berubah kepada perak di Filipina 2019 sebelum kembali memenangi gangsa di Vietnam, kali ini.

“Saya dah cuba yang terbaik untuk negara. Cuma boleh sumbang gangsa namun saya sangat berbangga kerana dapat bersaing dengan atlet normal,” ulasnya.

BACA LAGI : Rayuan Kita Ditolak, Pingat Emas Kekal Milik Ukraine

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ