Episod Ketiga menyaksikan salah seorang peserta termuda, Aziq Mukhriz, 18, meninggalkan gelanggang Hero Remaja 2017. Meskipun cuba tampil tenang, Aziq nyata tidak mampu perasaan sedih dan menitiskan air mata tatkala namanya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.
Dihujani kata-kata semangat daripada penyokongnya selepas episod tersebut disiarkan, ada juga segelintir netizen yang menyindir aksi menangis Aziq dengan laungan ‘kunyit’. Namun, peserta yang sentiasa cool ini tidak melatah sedikit pun. Apabila ditunjukkan reaksi netizen, dengan riak yang lucu Aziq menjawab,
“Geng kunyit? Kalaulah mereka kat tempat kami lalui hampir 6 bulan bersama Hero Remaja ni, rasanya baru mereka tahu kunyit tak kunyit kami ni. Apa yang penonton nampak di TV tu hanyalah highlights aktiviti kami sebagai Finalis Hero Remaja. Mereka tonton 30 minit, sekali seminggu, sedangkan kami dah menjalani aktiviti dan latihan bersama Hero Remaja hampir setiap hari selama enam bulan.”
“Sesiapa yang mengikuti perkembangan Hero Remaja sejak pengumuman Top 20 mesti perasan, banyak physical tasks dan digital tasks yang kami dah buat selama berbulan-bulan, lama sebelum Hero Remaja disiarkan di TV. Enam bulan bersama Top 20, mereka ni dah macam keluarga sendiri. Ada masanya jadual kami sangat padat, namun penat dan stres tu kami kongsi sama-sama. Kami tak merungut sebab ini cara yang kami pilih untuk kejar impian kami dalam industri ini.”
Tambahnya lagi, “Saya dah curahkan usaha dan perasaan untuk sesuatu yang saya minat, takkanlah saya tak rasa apa-apa apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir? Ia seperti meninggalkan ‘sekolah’ dan kawan-kawan, pada masa yang sama rasa kecewa dan takut kerana masih banyak yang saya belum sempat belajar. Jadi, menitiskan air mata saat tersingkir tu reaksi semulajadi dan spontan, bukti saya betul-betul komited dengan Hero Remaja 2017 ni.”
“Kita sebagai manusia ni tak tau susah senang hidup orang lain sebab kita bukan di tempat mereka, jadi kita tak berhak nak mengata atau mengutuk orang bukan-bukan. Netizen berhak bersuara sebenarnya.. dan kalau mereka bersuara tu maknanya mereka kisah akan kami so tak ada apa lah digelar kunyit tu.”
Diumumkan sebagai salah seorang peserta Bottom 3 bersama Adam Yusuf dan Nabil Aqil, Aziq ketika itu sebenarnya masih menaruh harapan untuk mara ke minggu seterusnya. Malangnya, nasib tidak menyebelahi peserta Top 10 termuda ini yang terpaksa akur dengan keputusan juri.
“Semasa Kak Dynas (Dynas Mokhtar) sebut nama Aziq sebagai Bottom 3 tu, saya rasa okay lagi. Tapi saat Kak Dynas ikat kain merah pada kayu yang saya pegang, perasaan saya hancur berkecai. Dalam fikiran saya masa tu semuanya negatif. Dari momen diumumkan sebagai peserta tersingkir sehinggalah tamat rakaman, saya cuma fikir, ‘lepas ni apa la aku nak buat?’ ‘Ada ke lagi tempat aku kat luar sana?’ ‘Teruk sangat ke Aziq ni?’ Allah je tau apa yang Aziq rasa masa tu,” katanya mengimbau episod penyingkiran.
Semestinya bukan mudah untuk Aziq, kerana selepas rakaman babak penyingkiran, dia masih perlu bersama-sama team produksi dan finalis yang terselamat melalui malam terakhir di Redang dan perjalanan pulang keesokan harinya. Bagaimana Aziq cope?
“Allah dah anugerahkan saya dengan kawan-kawan yang sangat baik dalam pertandingan ni. Saya boleh cakap yang mereka (finalis-finalis Hero Remaja) ni la abang-abang saya. Mereka jumpa Aziq one by one, bagi nasihat dan buat saya happy
dan senyum balik. Malam selepas penyingkiran tu juga, Kak Scha (Scha Al-Yahya) ajak saya minum sekali dan bagi saya kata-kata semangat. Kata Kak Scha, saya ada potensi dalam bidang ni, jadi saya kena keep on moving forward sebab ni bukan penghujung tapi baru permulaan.”“Tipulah kalau air mata tak mengalir masa nak tidur malam tu, tapi saya tetap positifkan mindset. Semua ni mesti ada hikmahnya. Lagipun, dalam Top 10 ni saya yang paling muda dan paling tak ada experience.”
“Yes, mula-mula terpilih sebagai Top 20 Hero Remaja saya macam tak sure dengan direction saya. Tak dinafikan yang saya rasa rendah diri dan tercabar apabila bersama finalis yang lain. Lambat laun, saya faham yang saya takkan dipilih sebagai finalis Hero Ramaja 2017 kalau saya tak sehebat atau sebagus mereka. Cuma, saya perlu cari identiti saya sendiri dan buktikan yang saya juga boleh jadi pencabar kepada yang lain-lain. Dan setelah saya berjaya sampai ke peringkat Top 10, saya mula nampak arah tuju dan start fokus betul-betul sebab saya memang layak berada di sini,” ujarnya panjang lebar.
Meskipun merasakan dirinya tidak berpengalaman, buat satu ketika Aziq sebenarnya pernah berlakon dalam beberapa buah drama. Peluang terbuka ketika Aziq masih di Tingkatan 3 melalui seorang rakan sekelas yang juga anak kepada seorang penerbit drama. Macam mana Aziq boleh terjebak?
“Kawan saya tanya, Aziq nak berlakon tak? Saya jawablah nak, kemudian dia berikan maklumat untuk casting dan saya pun pergi. Beberapa hari lepas tu, pihak produksi call dan beritahu yang saya dapat part tu. Dari situlah saya mula dapat peluang-peluang yang lain. Tapi kalau tanya tajuk-tajuk cerita, saya dah tak ingat sebab dah lama. Cerita yang Aziq berlakon semuanya untuk satu saluran IPTV dan biasanya Aziq dapat watak jadi anak, pembuli, handsome..” balasnya sambil tergelak.
Jadi, kenapa Aziq tak teruskan?
“Bila masuk ke Tingkatan 4 dan kemudiannya Tingkatan 5, saya perlu fokus pada exam SPM. So, saya stop dulu berlakon untuk beri laluan kepada pelajaran.” balas Aziq yang turut merancang untuk menyambung pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa kelak.
Menyertai Hero Remaja 2017, Aziq berharap dapat menyambung kembali perjalanannya dalam bidang lakonan dan berdiri sebaris dengan pelakon-pelakon yang dikaguminya; Remy Ishak dan Bront Palarae. Kedua-duanya hero sado sedangkan Aziq belum lagi. Adakah Aziq rasa semua pelakon lelaki perlu sado untuk bergelar hero?
“Sebenarnya orang kata hero perlu sado tu tak salah pun.. Ada banyak faedahnya kalau badan fit. Pelakon lelaki yang sado memang ramai peminat wanita, tapi ada jugak perempuan yang tak minat lelaki sado kan?”
“Pada saya, kita perlu tahu matlamat diri jika nak bergelar pelakon. Jika perlu jadi sado, kenalah pergi gym dan workout. Namun, perkara paling penting masih bakat dan skil lakonan. Ingat, hero itu dicipta bukan dilahirkan,” ulas Aziq.
Syabas Team REMAJA ucapkan kepada Aziq! Kami yakin bahawa ini baru permulaan perjalanan Aziq dalam industri seni tanah air.
Kepada #TEAMAZIQ, jangan stop mengundi Aziq sebagai HERO REMAJA FAVOURITE di bit.ly/vote-aziq. Undian ditutup 8 Oktober 2017 ini, jadi keep that votes coming ya!
Jangan lupa… SATU HARI SATU UNDI