Tuah Buah ‘Durian’, Pemilik Kebun Catat Untung Ratusan Ribu Ringgit. Wow!

Share

KATA orang berbudi kepada tanah, banyak untungnya. Selain menyihatkan badan, ia juga mampu menuai ribuan ringgit hasil tanaman.

Di sana sini boleh dilihat orang ramai menyerbu gerai-gerai durian yang merupakan perniagaan bermusim. Lebih meriah jika buah durian dijual dalam harga masuk akal dan tidak terlalu mahal. Kadang kala orang bukan berkira apa jenisnya, buah kahwin, kampung atau bukit tapi bagi yang jenis tak kisah, asal namanya durian, mereka akan membelinya.

Di sebalik orang menyerbu gerai-gerai durian, tentu kita tertanya-tanya berapa agaknya income si penjual buah dalam semalam? Berapa keuntungan mereka peroleh hasil jualan bermusim ini?

Pemilik dusun durian kunyit di Dabong, sebuah kawasan pedalaman di Kelantan boleh digelar sebagai ‘orang kaya’ apabila berjaya meraih pendapatan mencecah RM200,000 hasil daripada jualan durian yang menjadi rebutan ramai.

Percaya atau tidak, sepanjang sebulan jualan durian kunyit dan musang king, pemilik kebun yang dikenali sebagai Ibrahim Che Musa itu berjaya mengumpul pendapatan lumayan sepanjang tahun.

Bagi Ibrahim yang memiliki kebun durian seluas 6.47 hektar itu, jualan durian kunyit dan musang king kali ini cukup menggalakkan meskipun harga borong yang diberikan sekitar RM35 sehingga RM40 bagi sekilogram.

“Hasil pun meningkat sedikit. Dua kebun itu lebih kurang RM100,000 sehingga RM200,000.

Tahun lepas masuk Singapura, tidak cukup, pesanan tidak putus-putus,” kata Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Pak Him.

Menurut Pak Him, dia sama sekali tidak perlu membuat iklan untuk menjual duriannya kerana pelanggan sudah siap melakukan tempahan sejak awal tahun.

Jelas Pak Him, pasaran durian kunyit dan musang king kali ini tidak dieksport keluar sebaliknya hanya untuk pasaran tempatan, bahkan permintaan pasaran tempatan juga tidak mencukupi.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya Kelantan (MOTAC) iaitu Mohd Aidil Afizie Daud memaklumkan bahawa pasaran durian kunyit dari pedalaman Kelantan seperti di Dabong dan Bertam mampu dijadikan produk agrotourism.

“Kali ini kita datang untuk melihat potensi untuk kita promosikan agrotourism, makan durian di kampung atau di kebun sekitar Jelawang.

Salah satu program yang kita akan tonjolkan ialah visit kampung. Kami jangka ia akan menarik lebih ramai pelancong domestik. Kepada yang gemarkan durian, sila datang ke Kelantan dan ke Dabong,” kata Mohd Aidil.

Tambah Mohd Aidil lagi, sejajar dengan saranan kerajaan menggalakkan pelancongan domestik, sumber dan produk pelancongan seumpama itu perlu diketengahkan untuk pengetahuan rakyat.

Wah, hebatnya, okay min nak start tanam pokok durian la macam ni….hiks

Sumber : Astro Awani

Published by
Nana