Penyanyi, Sheila Abdull mencatatkan kejayaan cemerlang apabila meraih tempat pertama dalam konsert minggu kelima Gegar Vaganza 11.
Dalam temu bual selepas pengumuman, Sheila menzahirkan penghargaan kepada rakan duetnya, Jaclyn Victor, yang telah banyak membantu memberikan semangat dan tenaga sepanjang minggu tersebut untuk menjayakan lagu Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri.
ARTIKEL BERKAITAN: ASTRO Tampil Respons Mengenai Dakwaan #GegarVaganza Hanya Pentas Memalukan Artis -“Platform Ini Untuk Kembalikan Kegemilangan Mereka..”
“Jaclyn Victor, kita semua dah tahu kehebatan yang dia ada. Bila dapat berduet dengan Jaclyn, ia sangat menguntungkan saya kerana dia betul-betul beri kita tenaga, semangat.
Selain itu, Jaclyn sendiri mengambil inisiatif untuk latihan ekstra bersama saya agar kami kelihatan lebih serasi ketika menyanyi. Jaclyn sangat membantu untuk minggu ini. Dia memberi tenaga dan attitude yang betul,” katanya kepada Remaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Yazid Lovehunters Pula Tinggalkan Pentas GV11
Selain Jaclyn, pelantun lagu popular Mungkinkah itu juga tidak lupa memberi pujian kepada rakan peserta, Liza Aziz, yang sejak awal lagi disifatkan mampu memberikan persembahan terbaik.
Sheila mengatakan bahawa dia telah menjangkakan Liza akan sentiasa berada dalam kedudukan top 3 sejak sebelum konsert dimulakan.
Mengenai pencapaian peribadinya pada minggu kelima, Sheila mengakui bahawa meraih tempat pertama memberi suntikan semangat untuk terus berusaha lebih baik pada minggu-minggu yang akan datang.
“Carta peserta di Gegar Vaganza ini berubah setiap minggu kerana tugasan yang berbeza.
“Mungkin pada minggu seterusnya peserta lain yang lebih menyerlah pula. Jadi bagi saya, rancangan ini adil buat semua peserta,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.