Seorang lagi pendatang baru bakal mewarnai industri hiburan tanah air, Sophia Zuhri yang baru sahaja melancarkan single perdananya bertajuk ‘Game of Charades’.
Nampaknya tuah menyebelahi gadis berusia 17 tahun ini kerana dapat bekerjasama dengan komposer, penulis lirik dan penyanyi popular negara, Ajai.
Remaja ini melakukan kelainan daripada genre kebiasaan kepada gaya muzik fusion Britpop yang pastinya bakal menarik perhatian peminat muzik di Malaysia. Dengan kemahirannya bermain Ukulele, Sophia menterjemahkan kehidupan sebenar melalui muzik.
“Selalunya saya akan menulis mengenai sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan saya, sama ada apa yang saya alami sendiri atau pun melalui pemerhatian di sekeliling. Secara tidak langsung, saya akan memetic ukulele dan mula menulis melodi atau menyanyikan lagu menerusi telefon bimbit,” jelas Sophia.
Ia nyata tidak mengambil masa yang sama untuk Ajai menerokai bakat yang dimiliki Sophia dan komposer terkenal itu juga mengakui bahawa penyanyi remaja ini mampu mencipta nama dalam industri muzik tanah air.
“Saya dapat melihat diri saya dalam bakat Sophia. Sejujurnya, saya tidak menerbitkan lagu kepada semua orang, tetapi Sophia berbeza,”
“Dia memiliki kelasnya yang tersendiri dan membuatkan saya bersetuju untuk berkolaborasi,” jawab Ajai.
Memulakan karier nyanyian dan penulisan lagu seawal usia 14 tahun, Sophia yang merupakan seorang gadis pemalu dibesarkan di kota London dan kini menyambung pelajarannya di peringkat A-Levels di United Kingdom.
Sophia juga mengakui bahawa dirinya kini lebih selesa untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris dan tidak menolak sekiranya berpeluang merakamkan single bahasa Melayu.
“Sebab utama saya memilih untuk melancarkan single bahasa Inggeris adalah kerana saya dibesarkan dan belajar di luar negara. Saya sudah terbiasa berbahasa Inggeris, namun saya berharap suatu hari nanti saya berpeluang untuk menyanyikan lagu bahasa Inggeris,” tambahnya lagi.
Game of Charades kini sudah boleh didengari di aplikasi penstriman Spotify dan laman YouTube rasmi Universal Music Malaysia.