Sejak sekian lama, Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pendatang tanpa izin untuk memasuki negara ini yang dianggap lubuk duit oleh mereka. Statistik dari Jabatan Imigresen Malaysia sehingga September tahun lalu, jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang, majoriti dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.
Dalam pada itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pula menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini tahun lalu ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.
Jika 3.3 juta secara sah, yang pendatang tanda izin (PATI) pula pasti jumlahnya lebih dari itu (pastinya angka agak menakutkan??) sehingga bila berada di tengah ibu kota khususnya di kawasan Pasar Seni seolah-olah kita berada di Dhaka, Bangladesh dek kerana kebanjiran pati ini. Kata orang sudah naik lemak!
Namun hari ini, tindakan pantas pesawat C-130H milik TUDM dari No 20 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang yang berjaya mematahkan cubaan PATI dari memasuki perairan negara wajar diberi pujian!
Ya, inilah yang kita nanti dan harapkan agar sempadan negara tidak senang-senang dibolosi. Ini kerana sebahagian dari kita sudah muak dengan sikap segelintir PATI yang adakalanya sengaja mencetuskan perbalahan dengan penduduk tempatan!
Pesawat yang diterbangkan oleh Mej Faizul Hussein TUDM itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot PATI Rohingya dari memasuki perairan negara pada jam 10.26 pagi, hari ini.
Bot tersebut yang sarat dengan kira-kira 200 orang PATI Rohingya yang terdiri dari lelaki, wanita dan kanak-kanak dikesan di kedudukan 70 batu nautika dari barat Pulau Langkawi.
TUDM seterusnya menghubungi kapal TLDM iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR yang terus digerakkan ke lokasi pengesanan. KD LEKIU dan KD LEKIR kemudiannya telah berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM dan mengekang pergerakan masuk bot tersebut.
Dengan keadaan penempatan serta kehidupan yang daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan PATI yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baharu COVID-19 ke negara ini.
Namun, atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD LEKIU telah mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan PATI tersebut sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari memasuki perairan negara.
Tahniah dan syabas kepada juruterbang dan anak kapal C130H yang berjaya melaksanakan tugas tinjauan maritim udara dan bertindak pantas mengekang pencerobohan oleh kumpulan PATI.
Ini adalah satu usaha yang bersepadu di antara TUDM dan TLDM khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara. Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan tambahan di dalam krisis dunia yang dilanda pandemik COVID-19 yang menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kumpulan PATI. Sumber : BERNAMA