Lebih kurang dua bulan Taliban menakluk ibu kota, Kabul dan satu demi satu perubahan dilakukan. Terbaru, Taliban dilaporkan melarang pemilik salun atau kedai gunting rambut di wilayah Helmand untuk mencukur atau memotong janggut.
Menurut BBC, memetik jawatankuasa agama Taliban, tindakan tersebut dianggap melanggar undang-undang Islam dan boleh dihukum. Hal tersebut turut diakui oleh beberapa tukang gunting rambut di sekitar Kabul yang menerima arahan serupa, tambah portal itu.
Dalam satu notis dikeluarkan di selatan wilayah Helmand, pegawai Taliban dipercayai memberi amaran kepada penata rambut untuk mengikut undang-undang syariah bagi pemotongan rambut dan janggut.
“Para pejuang Taliban sering datang dan meminta kami berhenti memotong janggut,” kata salah seorang tukang gunting di Kabul.
Sementara itu, seorang pemilik salun besar di bandar terbabit mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan untuk berhenti ‘mengikut gaya Amerika’ serta dilarang mencukur atau memotong janggut sesiapa, tulis BBC.
Tapi betul ke haram memotong janggut bagi lelaki Islam?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan terdapat perbahasan berkenaan larangan mencukur janggut ini dalam kalangan ulama’.
1. Haram
Pendapat ini dipegang oleh Ibnu Taimiyah, jumhur fuqaha’ daripada Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie. Ini kerana ia bertentangan daripada suruhan Nabi SAW supaya memelihara janggut. Lihat Al-Mausu’ah Al-Kuwaitiyyah Al-Fiqhiyyah (Jil 35, hlm. 226)
2. Makruh
Pendapat ini ada disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari yang menukilkan pendapat daripada Qadhi Iyadh.
Qadhi Iyadh berkata: “Makruh bagi seseorang mencukur janggut, mengguntingnya, memendekkannya serta meratakannya. Tetapi jika diuruskannya supaya jangan terlalu panjang dan lebat, adalah tidak mengapa dan yang demikian itu bagus.”
3. Mubah Atau Harus
Para ulama masa kini membenarkan mencukur janggut kerana mengikut kehendak masa sekarang.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang dinilai paling sederhana adalah yang menetapkan bahawa ia adalah makruh sahaja. Perintah untuk memelihara janggut pula tidak bermaksud perintah wajib yang pasti – hanya ditegaskan supaya kita tidak menyerupai orang kafir sahaja.
Penulis pula secara peribadi melihat bahawa amalan menyimpan janggut dan jambang kini telah menjadi satu trend dan gaya yang bukan hanya diamalkan oleh orang Islam, malah orang bukan Islam.
Walaubagaimanapun, ia tidak dikira sebagai suatu perbuatan yang meniru, kerana hukum menyimpan janggut pada asalnya adalah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri.
Kesimpulannya, perlu difahami bahawa perkara ini tergolong dalam isu mustahab sahaja iaitu suatu yang dituntut atau dianjurkan. Wallahu’alam.
Sumber: BBC, Mufti Wilayah Persekutuan