Tular Jin Damping Gadis Suka Nangis Malam! Pengamal Perubatan Kongsi Kisah Benar Saka

Share

Baru ini tular di media sosial kisah seorang gadis yang berkongsi kisah kehadiran makhluk halus yang mendampinginya atas rasa kasihan dan mahu menjaganya hanya kerana dia suka menangis malam. Malah penunggu itu marah bila keluarga cuba memisahkan “hubungan” itu dengan menemui pengamal perubatan Islam. Walau sudah dibuang namun ia satu pengalaman menakutkan baginya Tweet ini dikongsikan oleh seorang pemuda berdasarkan pengalaman dialami oleh rakan perempuannya (twitter @herydgaf)

Di sebalik kisah ini, REMAJA menemuramah seorang pengamal perubatan Islam dan bertanyakan hal ini. Benarkah jin boleh mendampingi manusia atas dasar kasihan dan gadis suka menangis malam!
Menurut pengamal perubatan Islam yang enggan dikenali ini, pendamping atau jin mendatangi gadis yang suka menangis malam bergantung kepada situasi dialami oleh gadis tersebut.

“Kebiasaannya jika ahli keluarga memang ada membela saka (diwarisi dari nenek moyang terdahulu) apa saja musibah yang melanda ahli keluarga berkenaan, saka ini memang akan datang untuk ‘ambil tahu’.

“Ini kerana sebahagian tugas saka ini ialah untuk menjaga ahli keluarga ini turun temurun. Namun saka ini akan lebih cepat datang kalau gadis yang bermasalah itu anak sulung dalam keluarganya. Ini kerana anak sulung perempuan biasanya adalah pewaris terdekat saka ini,” katanya memulakan mukadimah.



Faktor lain tentang kehadiran jin atau saka ini bergantung kepada situasi dialami oleh gadis berkenaan.

“Jika dia tidak mampu mengawal emosinya, asyik menangis saja setiap malam hanya kepada sebab-sebab seperti putus cinta, lagi cepat dirinya akan didampingi oleh jin ini. Mulanya memang sebagai pendamping tapi lama kelamaan boleh lebih dari itu.

“Gadis ini biasanya akan mula terdengar bisikan-bisikan yang kalau dalam istilah perubatan dipanggil gangguan jiwa tetapi ia sebenarnya adalah berkait dengan gangguan dari jin berkenaan.

“Semua ini bergantung kepada ketahanan mental gadis itu sendiri. Jika jiwanya lemah maka makhluk halus mudah masuk. Kalau jiwanya kuat, tiada apa berlaku,”katanya lagi.

Tambahnya lagi, kekuatan jiwa dan emosi adalah faktor paling penting untuk mengelak seseorang individu diganggu oleh makhluk halus ini. Pendek kata, kekuatan jiwa bergantung kepada sejauh mana gadis ini redha dengan setiap ujian menimpanya.

“Sebagai contoh jika dia merasakan putus cinta itu adalah takdir dan redha, menerimanya dengan hati dan fikiran terbuka,walau keluarganya ada keturunan saka, maka tiada apa akan berlaku padanya. Tak ada jin akan ikut dampinginya,”katanya lagi.

Jin nama Ganderuwo akan ikut gadis waktu senja

Berbeza dengan gadis yang keluarganya tidak mempunyai saka keturunan, dirinya tidak terkecuali diganggu oleh jin bernama Ganderuwo yang berbentuk seperti gorilla dan berbulu hitam.

“Kita letak situasi begini. Andai gadis itu putus cinta pada pagi dan kejadian berlaku di pejabat. Menjelang petang perasaan marah, kecewa, sedih sudah bercampur dalam dirinya. Nak menangis mungkin malu di pejabat dan menjelang balik, semua perasaan itu semakin hendak dihamburkan.

“Biasa gadis ini akan balik dengan perasaan sedih keterlaluan. Dan sampai rumah waktu senja dan kemungkinan dia diganggu oleh jin ini sangat tinggi. Banyak juga kes-kes di mana jin berdegil dan enggan meninggalkan gadis disukainya. Tapi ada juga kes di mana gadis ambil keputusan akhiri hidup kalau emosi tidak stabil dan mendengar bisikab-bisikan begini.

Dekat diri pada Allah, tidur dalam keadaan berwudhu

Tiada hidup tidak ditimpa ujian. Namun ujian itu adalah tanda sedekat mana hamba pada Sang Pencipta.

“Seteruk mana pun ujian hidup kita, jangan sesekali menyalahi takdir Allah taala. Allah sayang dan kerana itulah Allah menguji. Bagi kes-kes untuk mengelak gangguan jin ini, selepas solat Isyak dan mahu tidur, sentiasa pastikan diri tidur dalam keadaan berwudhu.

“Tidurlah mengereng sebelah kanan sebagaimana diajar oleh Rasulullah. Baca tiga kul dan ayat Kursi sebagai pendinding diri. Belajar memaafkan lelaki yang mungkin menyakiti hati kita dan membuat kita menangis. Percayalah Allah mahu menghadirkan insan lebih baik untuk kita. Jangan mudah berputus asa dan sentiasalah jadikan al-Quran sebagai bacaan wajib kita setiap malam. Insya Allah hidup kita akan selamat,”katanya menasihat gadis-gadis agar tidak mudah beremosi andai ditimpa ujian.

Published by
Almaswa Haji Che Ros