Hari ini tular sebuah poster di laman media sosial mengenai tamatnya Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM setelah lebih 55 tahun mendidik anak bangsa. Agak mengejutkan juga bagi penulis kerana fakulti ini merupakan antara fakulti yang banyak melahirkan bakat-bakat hebat di Malaysia terutamanya dalam bidang rekaan fesyen dan seni.
Sebut sahaja nama seperti Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Radzuan Radziwill, Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat, mereka amat sinonim sebagai produk yang menjadi bukti bahawa fakulti ini sebuah fakulti yang berjaya membentuk graduan yang kreatif dan berdaya saing.
Namun apakah yang sebenarnya berlaku?
Setelah penulis membuat sedikit semakan di laman sesawang Universiti Teknologi MARA, rupa-rupanya fakulti yang telah diasaskan pada tahun 1967 ini telah digabungkan bersama dua fakulti lain iaitu Fakulti Muzik dan Fakulti Filem, Teater & Animasi untuk membentuk satu pusat baharu yang kini dikenali dengan nama Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM atau College of Creative Arts,
UiTM.Ini merupakan satu inisiatif baharu pucuk pimpinan UiTM bagi menjadikan universiti ini maju ke hadapan dan bergerak seiring dengan universiti-universiti terkemuka dunia yang lain. Untuk pengetahuan anda lagi, selain Kolej Pengajian Seni Kreatif, Kolej Pengajian Kejuruteraan juga telah ditubuhkan menggabungkan semua fakulti-fakulti kejuruteraan sebelum ini di bawah satu lembayung yang sama.
Dalam ruangan soal jawab di laman sesawang UiTM, ia menyatakan bahawa penggabungan fakulti-fakulti untuk menjadi sebuah kolej adalah adalah signifikan bagi melengkapkan staf dan pelajar untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, membentuk sinergi yang berkesan antara staf akademik dan pentadbiran dalam memastikan keberhasilan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, dan inovasi berimpak merentas pelbagai disiplin ilmu, menyediakan graduan dalam menghadapi landskap pekerjaan di masa hadapan, dan mengoptimumkan penggunaan sumber dengan lebih cekap dan efisien.
Menurut soal jawab itu lagi, bidang-bidang yang sedia ada tidak akan hilang, sebaliknya ia akan diperkasakan lagi daripada bidang tunggal kepada multi, inter dan rentas bidang untuk menghasilkan graduan yang kalis masa hadapan dengan kepelbagaian ilmu dan kemahiran baharu dalam menghadapi cabaran masa kini serta mampu mencipta peluang pekerjaan.
Dalam amanat Naib Canselor pada Januari 2021, sebanyak 26 fakulti sedia ada di UiTM akan digabungkan menjadi 10 kolej sahaja. Antara kolej lain adalah Kolej Pengajian Perubatan, Kolej Pengajian Kemanusiaan & Sains Sosial, Kolej Pengajian Sains Sukan & Kesihatan, Kolej Pengajian Alam Bina, Kolej Pengajian Undang-Undang, Kolej Pengajian Sains Gunaan & Agroteknologi, Kolej Pengajian Perniagaan, Perakaunan & Pengurusan Hospitaliti serta Kolej Pengajian Pengkomputeran, Matematik & Maklumat.
Jadi bagi alumni UiTM yang membaca artikel ini, fakulti kesayangan anda akan berada di kolej mana? Untuk penulis sebagai bekas pelajar Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, rasanya fakulti ini akan berada di Kolej Pengajian Kemanusiaan & Sains Sosial. Kita tunggu dan lihat.
Walau apapun, sama-sama kita sebagai alumni untuk terus menyokong inisiatif ini bagi membentuk generasi akan datang yang lebih cemerlang dan terbilang, bukan sahaja dari segi akademik tetapi kebolehpasaran bahkan mampu mencipta peluang pekerjaan.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: hea.uitm.edu.my