Tular Video Potong Gelang Pink Di Tik Tok, Remaja Dikompaun RM5,000

Share

Dalam situasi orang ramai terlalu berjaga-jaga kerana khuatir dijangkiti COVID-19, masih ada lagi individu yang tidak bertanggungjawab memandang perkara ini dengan remeh.

Sebuah video di laman Tik Tok menunjukkan seorang remaja menanggalkan gelang pink gara-gara ingin keluar bersiar-siar menjadi tular dan dek kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu, gadis tersebut dikatakan telah dikompaun oleh pihak polis sebanyak RM5,000.

Menurut Harian Metro, selepas mengenalpasti video itu, polis berjaya mengesan lokasi remaja terbabit yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran KKM.

Di dalam video itu, remaja tersebut turut berseloroh mengatakan bahawa ‘gelang’ itu dibeli oleh ibunya sambil menunjukkan kepada rakannya.

Difahamkan ketika itu, dia hanya singgah di rumah kawannya di kawasan berkenaan. Remaja itu menjalani ujian swab pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi.

Haih, sungguh tidak bertanggungjawab tindakan yang dilakukan oleh individu itu.

Kompaun yang dikenakan adalah di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Pihak polis turut menasihati masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak Covid-19. Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Hm, kan tak pasal-pasal dah kena denda RM5,000. Perkara seumpama ini tidak wajar untuk dipandang remeh kerana ia melibatkan ramai pihak sekiranya kes positif COVID-19 dikesan daripada individu itu.

Di harap masyarakat lebih sensitif dan tidak mementingkan diri sendiri dalam melakukan tindakan yang tidak wajar.

Sumber: (1), (2)

Published by
Noor Ain Norman