
Walaupun hanya menerajui negara selama lima tahun (2003-2008), kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, telah mencipta impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Digelar ‘Mr Clean’ kerana integritinya, Pak Lah berjaya mengemudi ekonomi negara dengan gaya kepimpinan yang sederhana tapi penuh dengan visi. Sepanjang tempoh pemerintahannya, Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang sangat memberangsangkan hampir 6% setahun!
Apa yang menjadikan tempoh itu begitu signifikan adalah pendekatan Pak Lah yang lebih tertumpu kepada pembangunan berasaskan pengetahuan, inovasi dan nilai. Dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang berubah, beliau meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

Inisiatif Koridor Ekonomi – Bukan Sekadar Projek Atas Kertas
Salah satu usaha besar Pak Lah adalah memastikan pembangunan seimbang antara wilayah, tak kira bandar mahupun luar bandar. Antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk:
– Iskandar Malaysia (Johor)
– Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
– Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
– Koridor Pembangunan Sabah (SDC)
– Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)

Kesemua projek ini bertujuan untuk memberi peluang ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat Malaysia di pelbagai lokasi bukan hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.
Dasar Berani & Pandangan Jauh
Antara langkah berani yang diambil oleh pentadbiran Pak Lah ialah pemansuhan tambatan ringgit kepada dolar AS, satu langkah yang membuka peluang lebih besar kepada pasaran kewangan negara.
Beliau juga memberi fokus kepada sektor strategik seperti bioteknologi, biofuel dan pertanian moden. Tak cukup dengan itu, Pak Lah turut mengangkat Malaysia ke pentas antarabangsa sebagai hab global produk halal, satu langkah yang hari ini terus memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

Legasi Yang Wajar Dikenang
Walaupun tempoh pemerintahannya tidak panjang, sumbangan Pak Lah terhadap ekonomi Malaysia tidak wajar diketepikan. Beliau meletakkan asas kepada banyak perkara yang kita nikmati hari ini – dari segi kestabilan ekonomi hinggalah kepada pembangunan yang lebih menyeluruh.
Legasi beliau membuktikan bahawa kepimpinan yang bersih, berprinsip dan berpandangan jauh mampu membawa perubahan besar, walaupun dalam masa yang singkat.
SUMBER: Harian Metro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.