Gadis kacukan Filipina-Perancis berjaya mengungguli pertandingan Miss World Philippines 2022 mengalahkan 35 peserta yang lain. Gwendolyne Fourniol yang mewakili daerah Negros Occidental menjadi pilihan juri setelah cemerlang dalam sesi gaun petang, pakaian mandi dan soal jawab.
Dalam acara gemilang yang dilangsungkan di Mall of Asia Area itu, Gwendolyn memukau pandangan penonton dalam persalinan gaun biru dan juga wajahnya yang segar dan berseri.
Walaupun boleh dianggap baru dalam dunia ratu cantik, ini bukanlah kali pertama dia menyertai Miss World Philippines. Sebaliknya tahun lalu dia telah menyertai pertandingan ini dan menempatkan dirinya di kedudukan Top 15. Ternyata percaturannya untuk kembali bertanding tahun ini berbaloi apabila dia berjaya menjadi juara.
Dilahirkan dan dibesarkan di Perancis, Gwendolyne merupakan graduan dalan jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Oxford Brooks University, England. Dunia ratu cantik tiada dalam kamus hidupnya sehinggalah ibunya menggalakkannya untu menyertai pertandingan. Mengambil peluang tinggal di tanah airnya, dia memilih untuk bertugas sebagai tutor bahasa Perancis untuk pelajar yang ingin mempelajari bahasa tersebut di Filipina.
Semasa pusingan bahagian soal jawab, gadis cantik ini ditanya bagaimana defisit pendidikan yang terkumpul di tengah-tengah pandemik Covid-19 boleh diselesaikan. Jawabnya, “Sebagai penyokong pendidikan, saya bersetuju bahawa semasa pandemik kita paling menderita, tetapi kanak-kanak yang kurang akses kepada pendidikan merupakan mangsa yang paling terkesan.
“Kerjasana dengan Yayasan ERDA yang memperkasakan warga Filipina yang terpinggir, saya percaya dengan menyatukan para dermawan dan menggalakkan kanak-kanak serta membenarkan mereka kembali ke sekolah terutamanya semasa pandemik ini akan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik kerana pendidikan adalah senjata terbesar melawan kemiskinan.”
Apa yang dijawabnya itu selari dengan apa yang dilakukannya selama ini. Isu tersebut merupakan sebahagian daripada kerja advokasinya bagi pihak program Miss World’s Beauty with a Purpose yang bertujuan untuk memberikan akses yang lebih baik kepada pendidikan untuk semua.
Dia bekerja dengan Yayasan Bantuan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan (ERDA), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memiliki misi untuk menghantar kanak-kanak kurang bernasib baik ke sekolah.
Pada malam itu, selain Gwendolyne yang diumumkan sebagai juara sekaligus bergelar Miss World Philippines, beberapa gelaran lain turut diberikan. Alison Black dinobatkan sebagai Miss Supranatinal Philippines 2022, Ashley Subijano Montenegro dinobatkan sebagai Miss Eco International Philippines 2022, Ingrid Santamaria diberikan gelaran Reina Hispanoamericana Filipinas manakala Beatriz Mclelland dimahkotakan sebagai Miss Eco Teen Philippines 2022.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Gewndolyne Fourniol