Masih tidak surut isu keputusan selebriti, Emma Maembong yang mengambil keputusan untuk menanggalkan hijabnya semalam.
Keputusan tersebut dianggap Emma sebagai keputusan peribadi dan tidak mendapat paksaan daripada mana-mana pihak.
Seperti yang didakwanya di dalam temuramah secara live melalui Instagram semalam, Emma berharap agar semua orang dapat memberikan motivasi dan mendoakan agar dirinya dapat berubah ke arah yang lebih baik secara perlahan-lahan.
BACA: “Tiada Siapa Paksa Saya” – Tanggal Hijab Keputusan Peribadi Emma Maembong
Apabila timbul isu sensitif seperti ini, pastilah timbul pelbagai komen berbaur cercaan, hinaan dan pelbagai lagi kata-kata negatif oleh netizen sehinggakan REMAJA sendiri terkejut dengan sebahagian besar komen yang dilontarkan.
Bukan ingin memihak mana-mana pihak, namun sudahkah kita hilang budaya kesopanan dalam kita bertutur? Di manakah adab yang kita pelajari apabila ingin menegur seseorang?
Apa pun, dalam banyak-banyak komen yang diberikan, tweet yang dilayangkan oleh Da’i Wan Adzrin melalui akaunnya awal pagi tadi membuatkan REMAJA sendiri terfikir mengenai isu ini secara lebih rohaniah.
Dalam pada kita menghamburkan kata-kata cercaan, kita lupa bahawa adalah tanggungjawab kita untuk memimpin sahabat sesama Muslim untuk kembali ke jalanNya.
Tidak kiralah sama ada isu yang dihadapi adalah menanggalkan hijab, meninggalkan kewajipan solat, tidak menjaga silaturrahim atau sebagainya, sebagai seorang sahabat Muslim seharusnya kita mendoakan agar Hidayah terus-menerus diberikan kepada kita semua.
Kita hanya mampu menyampaikan, namun ia tetap bergantung kepada empunya diri dan ketentuanNya. Semoga kita semua berubah ke arah yang lebih baik dan lebih sempurna di sisiNya.