UAE Akan Mahkotakan Wakil Miss Universe Pertama, Apa Respon Dunia?

Share

 

Tinggal kira-kira dua bulan saja sebelum dunia seorang wanita akan dinobatkan sebagai juara Miss Universe 2021.

Disebabkan situasi pandemik yang membataskan penganjuran pertandingan ratu cantik kebangsaan di seluruh dunia bagi mencari wakil negara masing-masing, jumlah peserta di Miss Universe pada tahun ini dijangka akan berkurangan berbanding edisi-edisi terdahulu.

Bukan itu saja, pemilihan lokasi pertandingan di Israel pada Disember tahun ini juga telah menyebabkan beberapa negara menarik diri daripada menyertainya.

ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia Pertahan Prinsip Tidak Sertai Miss Universe 2021 Di Israel – REMAJA

Menariknya, dua faktor itu langsung tidak menghalang negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) daripada menganjurkan pertandingan ratu cantik kebangsaannya bagi mencari wakil UAE PERTAMA untuk ke Miss Universe pada tahun ini!

Ura-ura mengenai penganjuran Miss Universe UAE di Dubai sebenarnya telah kedengaran sejak beberapa bulan lalu. Ia kekal sebagai khabar angin hinggalah pihak penganjur mengumumkan pertandingan tersebut secara rasmi semalam. Miss Universe UAE bakal dianjurkan di La Perle, Al Habtoor City Dubai pada 7 November ini.

Al Habtoor City di Dubai, UAE bakal menjadi lokasi pertandingan Miss Universe UAE.
Dewan Teater La Perle yang cukup gah.

Biarpun UAE merupakan sebuah negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam, pertandingan ini membenarkan gadis dengan pegangan mana-mana agama untuk menyertai. Asalkan, gadis tersebut berusia di antara 18 hingga 28 tahun dan telah mengesahkan diri sebagai penduduk tetap UAE melebihi 3 tahun.

Ini bermakna, jika gadis itu dilahirkan di negara lain dan baru saja disahkan sebagai penduduk tetap UAE sejak tahun 2018, dia layak menyertai Miss Universe UAE dengan menghantarkan borang secara atas talian mulai semalam.

Sekumpulan gadis terpilih pula akan dipanggil untuk sesi uji bakat secara bersemuka pada 15 Oktober di Al Habtoor Palace Hotel; diikuti dengan penamaan 30 orang peserta akhir pada 30 Oktober yang akan bertanding di peringkat akhir pada bulan November.

Seperti mana-mana pertandingan kebangsaan lain yang mencari wakil Miss Universe mereka, pertandingan Miss Universe UAE juga akan menguji peserta menerusi aktiviti penggambaran gambar, peragaan, penggambaran klip komersil dan soal jawab.

Namun, segmen pakaian mandi tidak akan dianjurkan oleh penganjur Miss Universe UAE. Ia akan digantikan dengan segmen pakaian activewear.

Penyertaan UAE dalam pertandingan Miss Universe ini telah mendapat reaksi yang bercampur-baur. Ada yang bersetuju untuk menghantar wakil UAE atas tiket semangat patriotisma dan peluang untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Cuma, tidak kurang juga sebilangan besar rakyat di sana yang risau sekiranya penyertaan ini akan membelakangi budaya malah agama wakil UAE tersebut disebabkan kewajiban buat peserta di Miss Universe untuk menyarungkan pakaian mandi.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Yugen Events merangkap Presiden Miss Universe UAE, Josh Yugen bagaimanapun menjelaskan bahawa pertandingan Miss Universe UAE pertama ini bukan saja melihat kepada kecantikan dan kebijaksanaan seseorang. Sebaliknya, sang juara perlulah mempunyai dorongan, semangat, misi penyertaan dan berjiwa besar untuk menghulurkan khidmatnya selepas ini.

Ulas Presiden Organisasi Miss Universe iaitu Paula M Shugart pula, pihak mereka mengalu-alukan penyertaan wakil pertama UAE ini ke acara yang akan disiarkan secara langsung di seluruh dunia pada bulan Disember.

“UAE mencatatkan sejarah penting pada era ini seperti menganjurkan World Expo dan menandatangani perjanjian Abraham Accords (perjanjian persefahaman antara Amerika Syarikat, UAE dan Israel pada Ogos 2020). Ini adalah waktu yang tepat untuk menyerlahkan wanita daripada negara ini,” katanya.

Untuk pengetahuan, beberapa negara Timur Tengah pernah menghantarkan wakil mereka ke pertandingan Miss Universe sebelum ini seperti Sarah Abdali Idan yang mewakili Iraq ke Miss Universe 2017. Namun model tersebut memenangi gelaran Miss Iraq di Amerika Syarikat dan tidak dipilih menerusi pertandingan ratu cantik di negara asalnya.

Hanya dua buah negara dari Timur Tengah saja yang kerap menghantarkan wakil ke Miss Universe iaitu Lebanon (sejak 1955) dan Mesir (sejak 1987).

ARTIKEL BERKAITAN : Lishalliny Kanaran Dinobatkan Sebagai Miss Grand Malaysia 2021 – REMAJA

BACA LAGI : Pelajar Jurusan Perniagaan Wakili Malaysia Di Miss Teen Universe 2021 – REMAJA

Published by
FZ