Ucap Selamat Tinggal Melalui Instagram Story, Peminat Kesan Cubaan Bunuh Diri KARA Goo Hara

Share

REMAJA tidak mempunyai niat lain, hanya sekadar ingin berkongsi pendapat dan pandangan terhadap isu ini selain daripada mendidik remaja khususnya.

Berikutan daripada kes bunuh diri di kalangan remaja kian meningkat termasuk remaja di Malaysia, isu bintang kpop Goo Hara yang dahulunya popular dengan grup wanita KARA, dikhabarkan hampir membunuh dirinya akibat tekanan daripada pelbagai pihak.

Goo Hara yang berusia 28 tahun itu dijumpai oleh pengurus peribadinya sendiri dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya. Pengurus Hara bertindak serta-merta setelah menghidu niat wanita itu. Goo Hara ditemui pengsan di dalam bilik yang dipenuhi asap dan terus dibawa ke hospital berdekatan.

Hara sempat menyampaikan kata-kata terakhir di Instagram Story nya dengan kata-kata depresi yang diakhiri dengan ‘selamat tinggal’ Sabtu lalu. Bukan saja pengurus peribadinya, malah netizen juga dapat merasakan ada sesuatu tidak kena pada posting wanita itu. Rata-rata memberi kata-kata semangat kepada wanita itu agar tidak membuat keputusan melulu dan terus tabah dalam menghadapi dugaan.

Goo Hara sebelum ini mendapat perhatian netizen di Korea Selatan ekoran kes dera oleh bekas teman lelakinya sendiri. Malah penyanyi dan pelakon di bawah agensi Keyeast Entertainment itu mendapat kecaman bertubi-tubi daripada peminat apabila dia menjalani pembedahan plastik pada wajah.

Korea Selatan menduduki tangga ke-10 dan merupakan negara Asia pertama terkenal dengan kes bunuh diri. Hara bukanlah kes pertama kerana ramai selebriti terkenal negara tersebut melakukan percubaan membunuh diri malah ada antara mereka berjaya membunuh diri mereka sendiri.

Antara selebriti terkenal yang telah menarik nyawa mereka sendiri adalah Shinee Jonghyun dan pelakon drama Winter Sonata, Park Yong Ha.

Antara perkara yang menjadi punca ramai membuat keputusan untuk membunuh diri adalah media sosial yang membawa kepada penyakit depresi. Budaya di Korea Selatan tidaklah seindah wajah ahli kumpulan BTS ataupun Red Velvet. Kebanyakan selebriti hidup untuk memuaskan kehendak orang sekeliling mereka terutamanya peminat.

Sikap masyarakat yang mengagung-agungkan selebriti seperti tuhan dan menuding jari apabila mereka melakukan kesalahan dah jadi asam garam industri hiburan tak kira negara. Mereka terpaksa menjaga penampilan, menjaga tingkah laku agar dilihat sempurna di mata masyarakat. Perlu tahu, selebriti juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada silap meskipun peminat adalah sumber rezeki selebriti tersebut.

Dikhabarkan, ini kali kedua Hara mencuba untuk membunuh dirinya. Walau bagaimanapun, dia kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dalam proses pemulihan.

Apa yang REMAJA cuba sampaikan di sini, tak kira sebesar mana pun kesilapan seseorang itu, kita yang melihat perlu bantu mereka bukan terus mengecam.

Published by
Maya