Sukan

Ucapan Hari Natal Mo Salah Cetus Kontroversi, Ramai Anggap Tidak Sensitif?

Share

Pisang ternyata berbuah dua kali buat pemain bola sepak sensasi Mesir dan mewakili kelab Liverpool FC, Mohamed Salah.

Pemain yang mesra dengan panggilan Mo Salah untuk tahun kedua berturut-turut telahpun memuat naik hantaran foto di Instagram yang memaparkan pohon krismas (besar kemungkinan di ruang tamu rumahnya).

Ia disusuli ucapan Hari Natal yang dibuat olehnya pada setiap tahun di bahagian kapsyen.

Perbuatan Salah itu bertukar kontroversi apabila ada warganet yang beranggapan ia tidak sensitif memandangkan Salah merupakan seorang lelaki Muslim yang masih mengamalkan kepercayaannya.

Ibarat menuang minyak ke bara api, kapsyen yang ditulis oleh Salah juga seakan tidak dapat diterima oleh ramai warganet.

Biarpun Salah cuba untuk mengaitkan ucapan Hari Natal kali ini dengan mesej kemanusiaan, ia tidak cukup untuk mengundang kecaman dalam kalangan lebih 99,000 pengguna Instagram di bahagian komen.

“Hari Natal adalah masa di mana ahli keluarga berkumpul dan meraikannya. Dengan peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah, terutamanya dengan kematian dan kemusnahan di Gaza, tahun ini kita dapat (menyambut) Hari Natal dengan hati yang berat dan sama-sama berkongsi kepedihan yang dilalui oleh keluarga mangsa yang kehilangan insan tercinta.

“Diminta untuk tidak melupakan mereka dan tidak terbiasa melihat mereka menderita. Selamat Hari Natal,” tinta Salah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mo Salah Tetap Berpuasa, Karier Bukan Alasan Tidak Tunduk Kepada Allah SWT – REMAJA

Hasil daripada hantaran itu, Salah menerima kecaman daripada peminatnya.

Salah seorang beranggapan Salah ‘memalukan untuk dunia Muslim’ manakala seorang lagi mengatakan ia kecewa dengan bintang Liverpool itu.

“Ini amat salah, anda seorang Muslim bukannya Kristian. Hari Natal kita adalah pada bulan April (merujuk kepada Aidilfitri), kamu memalukan.”

“Selepas hantaran ini, saya tidak lagi boleh memanggal anda sebagai idola. Anda mengecewakan saya, jika anda tidak memadamkan ciapan ini saya terpaksa ‘unfollow’.”

Malah, komposer dan penyanyi popular negara, Faizal Tahir juga tergerak hati untuk menaip komennya.

“Semoga ALLAH memberikanmu dan keluargamu petunjuk. Kerana kamu tiada apa-apa tanpa Allah.”

Hhm, apa pendapat korang? Adakah ‘tradisi’ Salah memberikan ucapan Hari Natal pada setiap tahun ini tidak harus dilakukan olehnya?

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ