Situasi banjir yang berlaku di Lembah Klang menyebabkan ramai yang terkesan dek kerana rumah mereka dinaiki air atau kawasan perumahan terjejas teruk akibat bencana alam ini.
Disebabkan oleh itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan cuti bencana mulai hari ini sehingga 25 Disember depan.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Majlis Eksekutif Universiti susulan banjir luar biasa yang melanda negara ketika ini.
Semua kuliah dibatalkan mulai hari ini hingga Sabtu sebagai inisiatif bagi meringankan dan membantu mereka yang terkesan. Sepanjang tempoh ini, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugas dilaksanakan.
Cuti bencana ini akan dilanjutkan dengan cuti khas perayaan pada 25 Disember hingga 2 Januari 2022 seperti yang ditetapkan dalam kalendar akademik sesi I 2021/2022.
Jelasnya lagi, pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji (31 Januari hingga 5 Februari) bagi tujuan penggantian kuliah.
Inisiatif ini dilakukan kerana UiTM amat mengambil berat dan prihatin terhadap situasi yang dihadapi oleh pelajar dan kakitangan sokongan dan akademik yang terkesan dengan bencana banjir ini.
Kami di Remaja juga turut mengucapkan takziah kepada seluruh warga Lembah Klang dan semoga keadaan air banjir semakin surut dan diberikan bantuan keperluan secukupnya.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)