Selepas lebih sebulan Majalah Remaja bersama-sama rakan strategik Dewan Bahasa & Pustakan serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melancarkan pertandingan mengarang esei bertemakan ‘Ceritakan Malaysia Anda’, akhirnya 10 orang pemenang utamanya telahpun diumumkan pada hari ini.
Pertandingan yang dibuka kepada pelajar sekolah menengah berusia 15 – 17 tahun dan pelajar prauniversiti/universiti berusia 18 -22 tahun ini adalah bersempena kempen patriotik ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dilancarkan oleh Majalah Remaja pada bulan Ogos dan September lalu.
Menariknya, meskipun negara sedang berada dalam musim wabak Covid-19, pertandingan ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada para pelajar. Sejumlah 525 penyertaan telahpun diterima oleh kami untuk diadili oleh pihak editorial Majalah Remaja dan wakil daripada Dewan Bahasa & Pustaka.
Bukan mudah bagi kami memilih hanya 5 orang pemenang bagi setiap kategori. Apapun, hasil kreativiti, seni penulisan dan idea yang dikarang oleh para pelajar telah kami teliti dengan cermat agar pemenang yang tersenarai pada edisi pertama ini adalah yang terbaik.
Bagi kategori Sekolah Menengah, tempat pertama dimenangi oleh Nur Isma Faqihah Binti Mohd Zulkifli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cha’ah, Segamat Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Ambil Masa Sejam, Pelajar Tingkatan 5 Dinobat Juara
Tempat kedua dimiliki oleh pelajar yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan Debat Pendidikan (DeKan) 2020 semalam, Aiman Izdihar Bin Amran dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, Negeri Sembilan. Tempat ketiga pula jatuh kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Sabah iaitu Nur Izzati Zahidah Md Asmara.
Dua kedudukan sagu hati dimiliki oleh Rabiatul Insyirah Ahmad Shah dan Nur Alya Nabihah Mohd Zaidi; masing-masing dari Sekolah Tun Fatimah, Johor. Mereka berdua diwakili oleh ibu bapa pada hari ini.
Tidak ketinggalan, Majalah Remaja turut memberikan penghargaan kepada sekolah yang telah menghantar penyertaan pelajar terbanyak pada kali ini. Dengan sejumlah 35 penyertaan, Sekolah Menengah Seksyen 24 (2) Shah Alam telahpun membawa pulang kategori tersebut dan diwakili oleh Puan Sufida.
*
Debaran turut dirasai bagi kategori Prauniversiti/Universiti pula. Juara menjadi milik pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Farhan Hasbullah.
BACA LAGI: Esei ‘Curahan Hati’ Pelajar UKM Tarik Perhatian Juri
Kedudukan naib juara disandang oleh Muhammad Aziim Mohd Zolkfly (Universiti Utara Malaysia) manakala pemenang tempat ketiga menjadi milik Priiyalakhshmi A/P Kumarrajah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sukacita dimaklumkan bahawa pertandingan mengarang esei Saya #RemajaMalaysia ini telahpun menerima 66 penyertaan daripada pelajar bukan berbangsa Melayu dari seluruh negara. Ini adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan bahasa kebangsaan semakin dikuasai dan dicintai oleh para pelajar sejagat.
Sementara itu, pelajar Sunway College, Abdul Halim Baruddin dan Muhammad Saifullah Muhamad dari Universiti Sains Islam Malaysia masing-masing menerima hadiah sagu hati.
Untuk pengetahuan, selain daripada hadiah wang tunai dan bahan bacaan yang disumbangkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka, para pemenang turut menerima trofi, sijil beserta produk tajaan Canon Malaysia, Summerie Malaysia, Good Virtues Co, innisfree Malaysia dan Marrybrown Malaysia.
Tahniah kami ucapkan kepada kesemua para peserta yang mempamerkan mutu penulisan yang cukup memberansangkan. Ini menandakan bahawa remaja pada era digital ini tetap mendahulukan kualiti dan skil penulisan yang mantap dan wajar dibanggakan.