Player Unknown’s Battlegrounds atau lebih dikenali sebagai PUBG merupakan permainan video kegemaran bukan sahaja anak muda, malah orang dewasa juga turut terjebak dalam permainan tembak-menembak ini.
Kalau dulu ramai yang menganggap perbuatan ‘gila’ bermain games adalah membuang masa, tetapi kini ianya boleh mendatangkan hasil lumayan kerana banyak tournament yang melibatkan aktiviti-aktiviti seperti ini.
Namun begitu, lain pula yang berlaku di negara jiran kita apabila di Aceh, Indonesia, golongan yang aktif dengan permainan PUBG ini dianggap telah melanggar syariat Islam.
Menurut Ketua Majlis Ulama Daerah Aceh Barat, Teungku Abdurrani Adian, setiap permainan PUBG serta yang berkaitan mengandungi unsur-unsur kekerasan atau peperangan harus dihukum sebat di hadapan khalayak ramai.
Pada Jun tahun lalu, Majlis Ulama Aceh telah mengeluarkan fatwa bahawa permainan PUBG adalah haram dan ia disebabkan permainan yang ditawarkan menerusi aplikasi PUBG itu didakwa banyak memberikan kesan negatif kepada masyarakat, terutamanya pada golongan muda.
PUBG juga dikategori sebagai permainan yang sarat dengan unsur kekerasan dan peperangan sehingga dikhuatiri menjejaskan akhlak dan psikologi pemainnya.
Walaupun PUBG diharamkan dan belum ada sebarang pelaksanaan undang-undang termasuk hukuman sebat, namun Teungku Abdurrani menegaskan pemerintah Aceh sebetulnya sudah melaksanakan hukuman berkenaan.
“Sebagai seorang Muslim, apabila masih terus memainkan permainan tersebut, tentu mereka akan berdosa. Mereka juga akan bertanggungjawab terhadap dosa mereka di akhirat kelak,” katanya lagi.
Beliau juga meminta Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat agar turut mengiktiraf fatwa yang dikeluarkan Majlis Ulama Aceh berhubung pengharaman PUBG sebelum ini. Ulama-ulama di Aceh juga berpendapat, permainan-permainan yang ditampilkan dalam video dalam talian itu lebih banyak menawarkan kerugian berbanding kebaikan.
Malah, mereka juga berpendapat bahawa permainan PUBG ini juga menyebabkan para pemain menjadi ketagihan, selain menyebabkan mereka terpengaruh dengan tingkah laku kekerasan.
Rasanya kita perlu menghormati pendirian mereka dan mungkin itu yang terbaik bagi pemerintah mereka dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat disana.
Hm, what say you guys?
Sumber: Astro Awani