Ulang Alik Dari KL-Kemaman, Shaza Bae Beri Komitmen Penuh Dalam Drama Perempuan Tanpa Dosa

Share

Kepadatan jadual kerja juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae sebagai hos rancangan Hlive dan pensyarah separuh masa tidak menghalang personaliti ini daripada terus memberikan komitmen di lokasi penggambaran drama yang dibintanginya.

Terbaru, Shaza turut membintangi drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang yang melakukan penggambaran di sekitar Kuantan dan Kemaman. Dengan tugas-tugas harian yang perlu dilakukan di Kuala Lumpur, sudah tentu ia memerlukan pembahagian masa dan penjadualan yang teratur bagi menguruskan segala pekerjaan di luar kawasan.

“Alhamdulillah, rezeki saya kali ini dapat bekerjasama sekali lagi dengan Uqasha Senrose dan beberapa pelakon hebat lain seperti Kamal Adli dan Uyaina Arshad. Penggambaran drama ini kebanyakannya dilakukan di Kuantan dan Terengganu, adakalanya saya terpaksa balik hari kerana mempunyai komitmen yang lain,”

“Tidak dinafikan walaupun agak sedikit memenatkan namun dengan disiplin dan dedikasi yang saya berikan dapat menyuntik kembali semangat untuk sentiasa memberikan komitmen terhadap drama bersiri ini. Boleh dikatakan kehidupan saya sekarang ini memang dipenuhi dengan kerja sahaja, kerana hampir setiap hari ada sahaja kerja yang perlu diselesaikan. Namun, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ini dan kadang kala ada juga masa yang saya akan selitkan untuk diluangkan bersama keluarga dan rakan tersayang,” jelas Shaza.

Memegang watak sebagai Yaya dalam Perempuan Tanpa Dosa, Shaza berkongsi bahawa dia sangat suka dengan watak gadis bernama Yaya kerana karakternya dalam drama ini banyak berkembang dan bukannya watak statik.

“Pada permulaan drama ini mungkin penonton menganggap watak Yaya sebagai seorang kawan yang jahat, namun sebenarnya dia seorang kawan yang baik dan penonton perlu menonton drama ini sehingga ke episod akhir untuk mengikuti perubahan yang berlaku pada watak Yaya,”

Shaza turut berkongi pengalamannya pertama kali bekerja dibawah arahan pengarah terkenal, Michael Ang.

“Tidak dinafikan pada mulanya saya berasa agak gementar dan dalam masa yang sama excited untuk bekerja bersama pengarah hebat seperti Michael Ang. Dia seorang yang garang tetapi banyak membantu para pelakon untuk memberikan hasil lakonan terbaik. Saya mengambil peluang yang diberikan ini untuk mengaut segala pengalaman dan ilmu daripada beliau,” jelasnya lagi.

Drama yang mempunyai 28 episod ini telah pun ditayangkan di saluran Astro Ria bermula 6 Oktober 2020 pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Published by
Noor Ain Norman